JOHOR BAHRU: Demi keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan, Muhd Rizal Jamil mengambil keputusan meninggalkan pekerjaan di Singapura walaupun pernah memperoleh pendapatan mencecah RM7,000 sebulan.
Bekas boat operation assistant itu berkata rutin harian yang memerlukan perjalanan jauh, bekerja enam hari seminggu dan pulang lewat malam memberi tekanan kepada mental serta fizikalnya. Selepas permit kerjanya tamat pada Februari lalu, beliau memilih mencari pekerjaan di Johor menerusi Karnival Kerjaya anjuran Majlis Pembangunan Bakat Johor (JTDC).
Muhd Rizal kini bekerja sebagai admin specialist di sebuah syarikat pembuatan aloi dengan gaji melebihi RM4,000 sebulan. Walaupun pendapatannya lebih rendah, beliau menyifatkan keputusan itu berbaloi kerana tempat kerja hanya kira-kira 10 minit dari rumah keluarga serta menikmati cuti hujung minggu.
Beliau berkata JTDC membantu memadankan kelayakan akademik dan pengalaman kerjanya dengan jawatan yang sesuai. Setakat Mei tahun ini, seramai 8,537 anak muda di Johor berjaya memperoleh pekerjaan bergaji melebihi RM4,000 sebulan menerusi pelbagai program dan inisiatif JTDC seperti dilapor Bernama.



