KUCHING: Pindaan Ordinan Bangunan Sarawak 1994 dijangka dibentangkan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) tahun depan bagi memperkukuhkan aspek keselamatan dan reka bentuk bangunan selari keperluan semasa.
Timbalan Premier Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, pindaan ordinan itu perlu dikemas kini mengikut peredaran masa untuk memastikan ia kekal relevan selaras aspirasi Sarawak mencapai hasrat menjadi negeri berpendapatan tinggi menjelang 2030.
‘’Kami memerlukan ordinan baharu untuk menangani keperluan semasa dan situasi yang bakal berlaku seperti perubahan iklim; cuaca ekstrem dan revolusi teknologi Kecerdasan Buatan (AI).
“Ini antara faktor yang perlu diambil kira dalam merangka undang-undang baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Forum Reka Bentuk Festival Reka Bentuk Pertubuhan Akitek Malaysia Cawangan Sarawak (PAMSC) 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, pagi tadi.
Oleh itu kata Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan terbabit, kementeriannya berhasrat untuk mempercepatkan pembentangan ordinan tersebut pada tahun depan.


