ARTIKEL

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada program khas Dialog Negara terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bertemakan "Di Sebalik Keputusan" di Angkasapuri. Program yang dikendalikan Pengacara RTM Ismail Adnan (kanan) itu membuka ruang perbincangan secara lebih mendalam mengenai pertimbangan, cabaran dan rasional di sebalik keputusan penting yang dibuat oleh kerajaan dalam usaha memperkukuh pembangunan negara serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. | Bernama

PM Anwar setuju cadangan pendidikan kesihatan mental di sekolah

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju dengan cadangan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk memasukkan elemen pendidikan kesihatan mental dalam kurikulum sekolah bagi membimbing dan membantu pelajar mengurus tekanan dengan lebih baik.

Bagaimanapun, beliau berkata pendekatan pengajaran berkaitan kesihatan mental perlu dirangka secara berhemah dan menarik agar dapat meningkatkan minat serta penghayatan pelajar.

“Kena cara pengolahan yang melalui pengajaran.

Sepatutnya dari segi agama dan moral itu paling penting, sebab itu dalam kurikulum Islam ini pun patut beri kesan.

“Semua anak-anak (beragama Islam) sekarang belajar Islam, semua berjemaah tetapi penghayatannya itu tidak jadi, saya setuju,” katanya pada program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik malam tadi.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Perdana Menteri berkata bilangan kaunselor terlatih di sekolah juga perlu ditambah bagi menangani kes lebih serius, namun usaha itu mungkin mengambil masa kerana memerlukan peruntukan yang besar.

“Kalau perlu kita terpaksalah tetapi mengambil masa.

Buat sementara ini harus ditimbulkan kesedaran. Penyelesaian kita ini terlalu terpisah-pisah.

Kita timbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat.

“Ibu bapa ada tanggungjawab dia.

Guru ada tanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab dengan baik.

Kalau kita pikul amanah ini dengan sebaik mungkin, seikhlas mungkin, sebahagiannya dapat ditangani,” katanya.

Anwar berkata berdasarkan pembentangan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, kebanyakan kes melibatkan pelajar sekolah termasuk masalah buli berpunca daripada tekanan dalam keluarga, antaranya terlalu menekan anak-anak supaya belajar selain penganiayaan dan penderaan di sekolah.

“Jadi kalau kita cari penyelesaian ini, kita boleh dengar cadangan dari KPM, Kementerian Kesihatan, dan badan-badan bukan kerajaan (NGO).

Maknanya mesti timbul kesedaran lebih meluas dan di rumah bagi saya penting.

“Kena ada asas bahawa mesti ada tanggungjawab ibu bapa dan keluarga.

Sibuk bagaimanapun tidak boleh lari daripada tanggungjawab menjaga, mendidik, memberi masa dan ruang, menunjukkan rasa kasih sayang,” katanya.

Barisan panel dalam program Dialog Negara ialah Pengasas Komuniti Pejuang Hartanah Datuk Ahyat Ishak, Felo Penyelidik Utama Institut Kajian Etnik UKM Datuk Dr Anis Yusal Yusof, Pegawai Perubatan yang juga pempengaruh media sosial Dr Malar Santhi Santherasegapan, serta Usahawan dan Pencipta Kandungan Digital Adam Shamil.

Turut serta ialah Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekusif PlusVibes Group Dr Madiha Fuad, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Farm Fresh Berhad Azmi Zainal, Pendakwah Bebas Izzhar Nazri, Pengasas Architects of Diversity (AOD) Malaysia Jason Wee dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi MARA (UiTM) Mohamad Adib Hazim Mohamad Razali. — Bernama

BERITA LAIN

BERITA TERBARU