KUCHING: Suasana Ramadan di bandar raya Kuching bertukar meriah apabila Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluangkan masa menyantuni peniaga serta pengunjung di Bazar Ramadan Sukma Ria petang tadi.
Ketibaan beliau pada jam 5.25 petang disambut mesra Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bersama Timbalan Perdana Menteri,Datuk Amar Fadillah Yusof.
Kehadiran tiga pemimpin utama negara dan negeri itu ternyata mencuri tumpuan ribuan pengunjung yang sedang sibuk memilih juadah berbuka puasa.

Sambil beramah mesra dan bersua foto bersama warga kota, Anwar sempat singgah di beberapa gerai bagi membeli juadah sebagai tanda sokongan kepada usahawan kecil.
Antara yang menarik perhatian adalah kunjungan beliau ke gerai kuih bongkol.
Umum mengetahui kuih bongkol merupakan juadah ‘legend’ dan cukup sinonim dengan budaya ‘bersungkey’ bagi masyarakat Sarawak khususnya di Kuching.
Bazar Ramadan Sukma Ria tahun ini yang dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus menjadi lokasi kegemaran ramai sejak mula beroperasi Ahad lalu.
Mempunyai 70 gerai jualan secara keseluruhan, Perdana Menteri mengambil peluang melawat setiap gerai yang menawarkan pelbagai variasi menu berbuka.





