TEBEDU: Penyediaan kemudahan infrastruktur yang merangkumi pelbagai aspek tetap menjadi keutamaan bagi setiap wakil rakyat di negeri ini.
Langkah tersebut bagi memastikan transformasi pembangunan yang dirangka dapat dinikmati secara inklusif oleh rakyat daripada semua lapisan masyarakat.
Pada masa sama, ia berupaya memberikan keselesaan kepada golongan sasar khususnya bagi memudahkan penganjuran sebarang aktiviti kemasyarakatan.
Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Serian, Dato’ Sri Richard Riot Jaem ketika berucap pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Serbaguna Sri Sinangken, Kampung Temong Mawang, Tebedu, Serian semalam.
Beliau berkata, penyediaan kemudahan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Sarawak dalam membina, membaik pulih serta menyediakan fasiliti demi kesejahteraan masyarakat sejagat.
Menurutnya, usaha tersebut juga berperanan penting dalam mengurangkan jurang pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar.
Pada majlis berkenaan, beliau turut menyempurnakan perasmian astaka dan pagar padang bola sepak kampung terbabit yang siap dibina melalui Sumbangan Khas (SK) Ahli Parlimen Serian berjumlah RM53,000.
Beliau dalam pada itu merakamkan penghargaan kepada pihak penganjur atas inisiatif melaksanakan program tersebut yang menjadi platform pengukuhan hubungan antara pemimpin dan rakyat.
Hadir sama Pemancar Kane Anak Manong, Penghulu Gaup Anak Takip, Kapitan Voong Nyuk Diyung, Ketua Kaum Kampung Temong Mawang, Peter Tatong, Guru Besar SK Temong, Bigun Kulak, Ahli Majlis Daerah Serian, Cr Pansin Bajah serta ketua-ketua kaum kawasan sekitar.



