KUCHING: Perikatan Nasional (PN) Sarawak mengesahkan tidak meletakkan calon parti untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak.
Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Badan Pimpinan PN Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian sambil menambah, parti juga tidak akan bergabung atau terlibat dengan mana-mana kempen dilakukan oleh parti atau calon yang menentang Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“PN Sarawak mengambil makluman ketetapan diambil oleh Majlis Tertinggi PN melalui Setiausaha Agung PN Datuk Seri Hamzah Zainuddin untuk tidak meletakkan calon pada PRK DUN Jepak.
“Ini berikutan PN Sarawak masih menfokuskan agenda politik khidmat serta memperkukuhkan kedudukan politik di negeri ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau berharap agar semua ahli parti dan penyokong parti meneruskan khidmat bakti di Bumi Kenyalang.
Sementara itu, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini mengumumkan bekas Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak, Iskandar Turkee, 54, sebagai calon GPS yang akan bertanding pada PRK Jepak.
Setakat ini, Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) sudah mengumumkan akan bertanding.
Bekas anggota polis, Stevenson Joseph Sumbang, 42, sebagai calon PBK, manakala ahli perniagaan Chieng Lea Phing, 64, calon Aspirasi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Jepak pada 4 November ini, manakala penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 21 dan 31 Oktober.
PRK DUN Jepak diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Talib Zulpilip pada 15 September lepas.

