PADAWAN: Program Pelan Strategik Mindef mendekatkan lagi hubungan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bersama masyarakat.
Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi berkata, penganjuran program tersebut di Kampung Darul Islam Belimbing, di sini selaras dengan teras keempat dalam Pelan Strategik Mindef 2021-2025.
Katanya, ia sekali gus mempromosikan ATM kepada masyarakat Sarawak khususnya berkaitan kerjaya pasukan keselamatan itu.
“Kalau kita lihat sejarah kampung ini memang bagus, lebih kurang tujuh ke lapan orang telah berkhidmat dalam perkhidmatan ATM, darat, laut dan udara.
“Saya dimaklumkan masih ramai yang berminat tetapi bagaimanapun ia tertakluk kepada syarat-syarat dan kelayakan untuk menjadi anggota tentera,” katanya ketika ditemui media sempena Program Jiwa Murni berteraskan Pelan Tindakan Strategik Mindef di Kampung Darul Islam Belimbing, di sini hari ini.
Mohd Sofi berkata, anak watan kampung tersebut juga boleh menjadi duta untuk menarik minat penduduk setempat untuk menyertai ATM.
Mengulas mengenai penganjuran program, beliau berkata, pengisian program memfokuskan kepada tiga agenda utama iaitu kerohanian, pendidikan dan kebajikan.
Program Jiwa Murni Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat diadakan bermula semalam sehingga hari ini dan dihadiri 300 penduduk kampung dan 200 warga ATM.


