KUCHING: Sarawak Women for Women Society (SWWS) menganjurkan program kesedaran bertajuk Membongkar Sisi Gelap Media Sosial pada Sabtu ini (19 Oktober), bertempat di Kuching Community Social Support Centre (CSSC), Jalan Abell di sini.
Program yang dijalankan dengan sokongan Majlis Pembangunan Sosial Sarawak, Aeon, Kuching Bring It On Association dan Kuching CSSC ini dijadualkan bermula jam 9 pagi hingga 1 petang, dengan sasaran untuk memberi pendedahan kepada ibu bapa dan kanak-kanak tentang ancaman keselamatan dalam talian.
Melalui sesi ceramah yang disediakan, peserta akan didedahkan dengan isu kritikal seperti pengantunan dan buli siber, yang semakin membimbangkan dalam kalangan pengguna muda media sosial.
Sesi ceramah untuk ibu bapa dan penjaga akan memfokuskan pada langkah pencegahan dan tindakan yang perlu diambil jika anak-anak menjadi mangsa.
Pegawai polis akan turut memberikan penerangan mengenai jenayah multimedia dan risiko siber lain, bagi memastikan golongan dewasa lebih bersedia menangani cabaran ini.
Bagi menarik penyertaan kanak-kanak, program ini turut menganjurkan pertandingan mewarna, yang dibahagikan kepada tiga kategori mengikut peringkat umur iaitu kategori A (10 tahun), kategori B (11 tahun) dan kategori C (12 tahun). Pertandingan ini bertujuan menggalakkan kreativiti kanak-kanak sambil menyampaikan mesej penting tentang keselamatan siber melalui cara yang interaktif.
Dengan penganjuran program ini, SWWS berharap dapat memperkasa masyarakat dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melindungi anak-anak daripada ancaman siber yang kian meningkat.
Melalui pendidikan dan pendedahan yang betul, ibu bapa dan penjaga boleh memainkan peranan penting dalam membina persekitaran siber yang lebih selamat untuk generasi muda.
Semua penyertaan adalah percuma, namun tempat adalah terhad kepada peserta yang mendaftar awal.
Pendaftaran boleh dilakukan melalui imbasan kod QR pada poster acara atau di pautan: https://forms.gle/ Lbq9Z4fQrxASzckB8.
Makanan dan bahan bacaan akan disediakan untuk semua peserta yang hadir.

