BAU: Projek menaik taraf Jalan Musi–Buso–Simpang Buso, di sini yang menelan kos RM73 juta dijangka siap menjelang Mei 2028, kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Henry Harry Jinep.
Beliau berkata, penaiktarafan itu penting ekoran jalan luar bandar sedia ada sempit dan tidak lagi mampu menampung peningkatan trafik daripada penduduk setempat, kawasan pertanian dan pembangunan baharu.
“Projek itu merangkumi pembinaan dua jambatan konkrit, pelebaran dan pengukuhan jalan, penaiktarafan struktur turapan serta penambahbaikan ciri keselamatan seperti sistem perparitan, bahu jalan, papan tanda dan persimpangan.
“Malah, jalan itu akan dibina mengikut standard R3 bagi laluan dua lorong satu hala.
“Ia akan menjadi laluan alternatif penting bagi Bau dan membuka kawasan Musi dan Buso kepada pembangunan, termasuk peluasan kawasan perumahan serta aktiviti ekonomi,” katanya kepada Suara Sarawak.
Jelas Henry, projek tersebut dianugerahkan dan kontraktor akan memulakan kerja pada bila-bila masa.
Henry yang juga ADUN Tasik Biru, berkata, peningkatan akses itu turut memberi manfaat kepada petani kecil, memudahkan pergerakan penduduk dan menghubungkan penempatan pedalaman Bau ke laluan utama menuju Kuching.
Beliau berkata, projek berkenaan juga membawa objektif jangka panjang untuk mewujudkan satu lagi laluan penghubung antara Lebuh Raya Pan Borneo dan jalan lama Kuching–Bau sebagai laluan alternatif ke pekan pelancongan Bau.
Mesyuarat penyelarasan susulan penganugerahan tender terbuka kepada Primaces Sdn Bhd telah diadakan pada 17 November lalu di Pejabat Daerah Bau, dipengerusikan Henry bersama-sama Pegawai Daerah Bau, Eddy Nayoi, yang bertindak sebagai sekretariat projek.

