KUCHING: Projek pengindahan di Bulatan Bintawa yang menampilkan bot kotak sebagai elemen warisan kini dilaksanakan secara berfasa dengan tumpuan kepada pemuliharaan identiti tempatan serta penambahbaikan landskap kawasan.
Datuk Bandar Kuching Selatan Datuk Wee Hong Seng berkata, fasa pertama projek telah siap sepenuhnya melibatkan kerja-kerja asas pengindahan termasuk menaik taraf kawasan sekitar, penyediaan laluan pejalan kaki serta kerja mengecat semula bot kotak yang menjadi simbol sejarah setempat.
“Kerja mengecat semula bot kotak mengambil masa kira-kira dua minggu dengan penyesuaian warna dilakukan agar selari dengan identiti serta sejarah tempatan,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran pengindahan Bulatan Bintawa di sini, hari ini.
Menurut beliau, pelaksanaan projek tersebut dibahagikan kepada beberapa fasa bagi memastikan setiap komponen dapat disiapkan secara terancang dan berkesan.
“Fasa kedua pula akan memberi tumpuan kepada pemasangan bekalan elektrik serta sistem pencahayaan bagi membolehkan kawasan itu diaktifkan pada waktu malam, sekali gus menjadikannya lebih menarik dan mesra pengunjung.
“Manakala fasa terakhir projek akan melibatkan pemasangan pencahayaan menyeluruh serta penambahbaikan landskap secara keseluruhan bagi melengkapkan konsep pengindahan kawasan tersebut,” ujarnya.
Menyentuh mengenai kos keseluruhan projek, Wee memaklumkan perbelanjaan dianggarkan tidak melebihi RM100,000 dengan fasa pertama melibatkan kos sekitar RM40,000 hingga RM50,000.
“Bagaimanapun, projek ini telah ditaja sepenuhnya oleh komuniti setempat di Bintawa.
“Bahkan, bot kotak ini akan dikekalkan di lokasi asal sebagai simbol warisan komuniti nelayan terdahulu, selain dinaik taraf dengan laluan pejalan kaki bagi membolehkan orang ramai mendekati dan bergambar di kawasan ini,” jelasnya.
Tambah beliau, pendekatan projek ini turut menekankan pelibatan komuniti serta penajaan daripada pelbagai pihak bagi mengurangkan kos keseluruhan pelaksanaan.
“Projek ini bukan sahaja bertujuan mencantikkan kawasan, malah mengangkat nilai sejarah serta identiti Ming Ta Hua sebagai penempatan awal komuniti nelayan di kawasan tersebut,” katanya lagi.
Untuk rekod, bot kotak itu bukan sekadar objek pameran, sebaliknya melambangkan kisah kehidupan masyarakat dahulu yang bergantung kepada sungai sebagai sumber rezeki.

