Pulihkan keyakinan rakyat

KUCHING: Hasil koloborasi, kerjasama dan semangat bertanggungjawab Kerajaan Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak (PN+GPS) dalam menangani krisis wabak Covid-19, telah menambat hati dan keyakinan rakyat.

Ketua Penerangan PBB yang juga Adun Muara Tuang Datuk Idris Buang berkata, kepimpinan dan kewibawaan kerajaan yang dibentuk dalam memulihkan keadaan negara berjaya meyakinkan rakyat.

“Saya melihat ini sebagai trend kesedaran politik terkini dalam hasrat rakyat memperkukuhkan Kerajaan Persekutuan yang diterajui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.

Tambah Idris, keadaan ini berbeza dengan kepimpinan terdahulu (Pakatan Harapan) yang sibuk bermain politik dan berusaha mendapatkan kuasa. Menurutnya, kepimpinan Muhyiddin bertungkus-lumus memberi fokus membantu rakyat dalam memulihkan keadaan negara kesan daripada wabak tersebut.

“Ketika krisis wabak itu mula berlaku di negara kita, PH yang sedang memerintah dan mereka tidak menangani krisis ini dengan bertanggungjawab. “Contohnya, tiada sekatan masuk terhadap pelancong China dan tiada langkah-langkah keselamatan yang efektif dibuat.

“Ini menjadi salah satu sebab kenapa Covid-19 meresap ke dalam negara kita dengan cepat,” ujarnya. Beliau juga mengucapkan syabas kepada Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang kerana bijak dalam mengambil keputusan keluar daripada PKR.

Terdahulu, Jugah mengumumkan beliau keluar daripada PKR dan menjadi Ahli Parlimen Bebas yang menyokong kerajaan PN dan GPS.