ARTIKEL

Rolland fokus tingkat kemudahan kesihatan di DUN Meluan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

PAKAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meluan, Datuk Rolland Duat Jubin memberi tumpuan terhadap usaha meningkatkan kemudahan kesihatan bagi memastikan rakyat di kawasannya menerima perkhidmatan yang lebih selesa, berkualiti dan berkesan.

Beliau berkata, aspek kemudahan kesihatan perlu diberi perhatian memandangkan ia mempunyai kaitan langsung dengan kesejahteraan penduduk, khususnya mereka yang tinggal jauh dari pusat bandar.

Sebagai wakil rakyat katanya, beliau sentiasa mengambil berat keperluan fasiliti kesihatan di kawasan Meluan dan akan terus membawa perkara berkenaan kepada pihak berkaitan untuk tindakan penambahbaikan.

“Bagi saya, kemudahan kesihatan adalah antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian kerana ia berkait rapat dengan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.

“Penduduk di kawasan saya berdepan cabaran dari segi jarak dan akses kepada perkhidmatan kesihatan, justeru usaha meningkatkan kemudahan sedia ada perlu diteruskan,” katanya ketika merasmikan Program Kesihatan di Nanga Entaih, di sini, semalam.

Dalam perkembangan sama, Rolland menyalurkan peruntukan RM10,000 kepada Klinik Kesihatan (KK) Entaih bagi membantu menambah baik kemudahan serta memenuhi keperluan peralatan di klinik berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu boleh dimanfaatkan bagi menaik taraf beberapa keperluan asas termasuk sistem pendingin hawa, meja dan kerusi kakitangan, katil pesakit, mesin pemeriksaan tekanan darah serta pam air.

“Penambahbaikan kemudahan ini diharap dapat mewujudkan suasana kerja yang lebih selesa dan kondusif kepada petugas kesihatan, selain memberi keselesaan kepada penduduk yang mendapatkan perkhidmatan di klinik ini,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan yang lebih baik juga penting bagi membantu melancarkan urusan kakitangan selain meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kesihatan kepada rakyat.

Sementara itu, katanya, Program Kesihatan yang diadakan di Nanga Entaih turut memainkan peranan penting dalam mendekatkan perkhidmatan serta maklumat kesihatan kepada masyarakat setempat.

“Program seperti ini memberi peluang kepada penduduk untuk mendapatkan maklumat berkaitan penjagaan kesihatan secara lebih dekat, selain berinteraksi secara langsung dengan petugas dan agensi kesihatan.

“Saya berharap masyarakat mengambil peluang ini untuk mendapatkan pemeriksaan dan nasihat kesihatan, di samping mengamalkan gaya hidup sihat sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian,” katanya.

Rolland turut menegaskan kerjasama antara wakil rakyat, agensi kesihatan dan masyarakat perlu diperkukuh bagi memastikan isu berkaitan kemudahan serta akses kesihatan di kawasan pedalaman dapat diberi perhatian secara berterusan.

KAPSYEN

Rolland ketika hadir untuk menyempurnakan majlis perasmian Program Kesihatan di Nanga Entaih.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU