SPAOH: Rumah panjang baharu Nanga Pek merupakan bukti kukuh semangat perpaduan masyarakat Sarawak, khususnya di Spaoh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, memberitahu rumah panjang tersebut melambangkan usaha Kerajaan Sarawak di bawah kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang tidak mengabaikan keperluan penduduk di kawasan luar bandar.
“Walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran dan rintangan, para penduduk rumah panjang ini telah berjaya membina rumah panjang moden dan konkrit.
“Ini kerana anda semua telah memilih untuk bersatu dalam satu suara dan saya amat berbangga dengan pencapaian ini kerana ianya bukan satu tugas yang mudah,” jelasnya pada majlis perasmian rumah panjang tersebut di sini semalam.
Uggah berkata, dengan wujudnya Lebuhraya Pan Borneo, ia hanya mengambil masa kira-kira tiga jam untuk memandu dari Kuching dan sampai ke rumah panjang Nanga Pek.
“Sebelum ini, kita terpaksa berjalan jarak yang agak jauh sebelum meneruskan perjalanan ke Nanga Pek dengan menaiki bot panjang,” ujarnya.
Pembinaan rumah panjang 24 pintu itu mula dilaksanakan pada 20 Ogos 2012 dan disiapkan selepas dua tahun.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata peruntukan sebanyak RM33 juta telah disediakan untuk merancakkan aktiviti sosioekonomi bagi membantu penduduk di konstituensi Bukit Saban untuk membantu penduduk setempat menjana pendapatan.
Beliau menambah, jumlah RM25 juta juga telah diperuntukkan untuk menaik taraf jalan Ulu Rimbas di sini bagi memanfaatkan sebanyak 13 rumah panjang sekitar.
Turut hadir ialah isteri Uggah, Datin Amar Doreen Mayang, Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu, serta isterinya, Datin Rosemarie Wong, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu, dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Krian, Friday Belik. – EDISI UKAS



