HONG KONG: Kebanyakan pasaran saham Asia mencatatkan kenaikan ketara pada Jumaat, manakala harga minyak dunia terus menurun berikutan optimisme bahawa Amerika Syarikat (AS) dan Iran bakal mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik yang menjejaskan bekalan tenaga global.
Pasaran minyak menunjukkan turun naik yang ketara sepanjang minggu ini apabila pelabur menilai kemungkinan tercapainya perjanjian antara Washington dengan Tehran yang berpotensi memulihkan semula aktiviti perkapalan melalui Selat Hormuz, laluan perdagangan minyak yang penting di dunia.
Harapan tersebut sebelum ini terjejas susulan serangan baharu tentera AS ke atas Iran pada malam Rabu, yang dibalas oleh Pasukan Pengawal Revolusi Iran dengan menyasarkan sebuah pangkalan udara AS di rantau berkenaan.
Bagaimanapun, menjelang petang Khamis, rundingan antara kedua-dua pihak dilaporkan semakin hampir mencapai persetujuan untuk melanjutkan gencatan senjata yang rapuh selama 60 hari, tertakluk kepada kelulusan Presiden Donald Trump, menurut sumber AS kepada AFP.
Perkembangan itu membantu memulihkan sentimen pelabur di Wall Street selepas permulaan dagangan yang perlahan, dengan indeks utama ditutup lebih tinggi pada akhir sesi.
Dalam dagangan petang Jumaat di Asia, harga minyak mentah Brent susut lebih satu peratus kepada AS$92.54 setong, manakala penanda aras utama AS, West Texas Intermediate (WTI), turut merosot pada kadar yang sama kepada AS$87.56 setong.
Pasaran saham Seoul mencatatkan prestasi terbaik di Asia dengan lonjakan 3.6 peratus, sementara indeks Nikkei di Tokyo ditutup pada paras rekod tertinggi.
Pasaran di Sydney, Taipei dan Hong Kong turut merekodkan kenaikan kukuh, manakala Shanghai mengalami penurunan 0.7 peratus. Di Eropah, pasaran saham di London, Paris dan Frankfurt turut dibuka lebih tinggi.
Kenaikan di Wall Street pada Khamis berlaku walaupun beberapa petunjuk ekonomi menunjukkan perkembangan kurang memberangsangkan.
Penunjuk inflasi pilihan Rizab Persekutuan (Fed) AS meningkat pada April ke paras tertinggi sejak 2023, manakala pertumbuhan ekonomi bagi suku pertama turut disemak semula kepada kadar yang lebih rendah.
Gabungan inflasi yang masih tinggi dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan mengurangkan kemungkinan Fed menurunkan kadar faedah dalam masa terdekat, meskipun Presiden Trump berulang kali menggesa kadar faedah dikurangkan bagi merangsang ekonomi.
Penganalisis Oxford Economics, Matthew Martin, berkata risiko kemelesetan ekonomi kini semakin berkurangan susulan penyederhanaan harga minyak dan berkurangnya kebarangkalian berlakunya senario terburuk akibat konflik tersebut.
“Walaupun pengurangan risiko perang membantu meningkatkan sentimen pasaran, kenaikan harga saham lebih banyak didorong oleh musim laporan pendapatan korporat yang kukuh. Faktor utama adalah perbelanjaan modal berkaitan kecerdasan buatan (AI),” katanya.
Keyakinan global terhadap sektor AI turut mencetuskan lonjakan besar dalam pasaran teknologi, dengan syarikat pengeluar cip seperti Micron dan SK hynix mencatatkan nilai pasaran melebihi AS$1 trilion minggu ini.
Di Eropah, perhatian kini tertumpu kepada pertemuan penting pemimpin serantau pada Jumaat bagi membincangkan langkah menangani defisit perdagangan yang semakin melebar dengan China.
Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) dijadual mengadakan perbincangan mengenai tindakan yang perlu diambil oleh blok 27 negara itu untuk melindungi syarikat-syarikat Eropah daripada persaingan yang disifatkan Brussels sebagai tidak adil daripada pesaing China.
Sementara itu, data rasmi yang dikeluarkan pada Jumaat menunjukkan ekonomi Perancis menguncup sebanyak 0.1 peratus pada suku pertama tahun ini berbanding suku sebelumnya. Angka itu merupakan semakan ke bawah daripada bacaan terdahulu yang menunjukkan pertumbuhan sifar. – AFP


