ARTIKEL

JUANDA bercakap pada sidang media Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.

Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 sasar perhimpunan 12,000 peserta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seramai 12,000 peserta dari dalam dan luar negara bakal memeriahkan Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026, menjadikannya program integriti terbesar pernah dianjurkan kerajaan negeri dalam usaha memperkukuh tatakelola, akauntabiliti dan pencegahan rasuah.

Sambutan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada 12 Ogos depan turut diadakan serentak dengan Persidangan Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) 2026 dengan menghimpunkan penjawat awam, penggubal dasar serta pakar integriti antarabangsa.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman) Datuk Dr Juanda Jaya berkata, sambutan tersebut merupakan platform strategik bagi membudayakan integriti sebagai asas penyampaian perkhidmatan awam yang telus, berakauntabiliti dan berkesan.

.JUANDA merakam kenangan selepas sidang media Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di Kuching, hari ini.

“Integriti merupakan asas penting dalam membina keyakinan rakyat terhadap kerajaan serta memastikan setiap dasar dan perkhidmatan disampaikan secara telus, cekap dan bertanggungjawab.

“Setiap tindakan dan keputusan perlu berteraskan amanah, ketelusan dan akauntabiliti. Dengan sokongan semua pihak, kita yakin Sarawak akan terus berkembang sebagai wilayah yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi, malah kukuh dari aspek integriti dan tatakelola,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sambutan Hari Integriti Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Menurutnya, sambutan bertemakan ‘Integriti Teras Kemakmuran Sarawak’ itu dijangka melibatkan 2,000 peserta secara fizikal dan 10,000 secara dalam talian, sekali gus memperluaskan penghayatan nilai integriti kepada penjawat awam dan masyarakat di seluruh negeri.

“Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual merasmikan sambutan berkenaan selain menyampaikan Amanat Perdana Integriti yang akan menggariskan kepentingan pembudayaan integriti dalam memperkukuh tatakelola serta memacu kemakmuran Sarawak,” katanya.

Pada majlis sama, Premier turut dijadual melancarkan Modul Pemantapan Integriti, Tatakelola dan Antirasuah (PINTAR) bagi penjawat awam Sarawak serta Kelab Rakan Integriti Sekolah (KRIS) yang bertujuan menyemai nilai integriti dalam kalangan pelajar sejak dari bangku sekolah.

“Usaha itu selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) yang meletakkan integriti, ketelusan dan akauntabiliti sebagai antara tonggak utama dalam menjadikan Sarawak sebuah wilayah maju, berdaya saing dan berintegriti tinggi menjelang 2030,” ujarnya.

Tambahnya, sambutan itu turut dihadiri beberapa pemimpin tertinggi perkhidmatan awam negara, antaranya Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Datuk Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Abdul Halim Aman dan Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi.

Selain itu, beberapa acara penghargaan turut diadakan, antaranya penyampaian sijil penyertaan Modul Integriti Kepimpinan Masyarakat Tahap 3, Anugerah Khas CABCOM 2026 serta penyampaian hadiah pertandingan Debat Integriti Piala Premier Sarawak 2026.

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

BERITA TERBARU

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira