MARUDI: Maklumat tepat, lengkap serta menyeluruh tentang projek karbon perlu disampaikan kepada pemimpin masyarakat bagi mengelak timbulnya spekulasi buruk dan penyebaran info mengelirukan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek), Datuk Gerawat Gala, berkata sebab itu, pentingnya sesi libat urus diadakan secara berkala (bukan hanya sekali) dengan semua pihak berkepentingan, khususnya masyarakat setempat bagi memastikan kejayaan projek itu.
“Sehubungan itu, saya menasihatkan SaraCarbon untuk memberikan maklumat yang tepat dan menyeluruh kepada pemimpin masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan lain tentang projek karbon.
“Kita ingin memastikan tidak ada ruang bagi pertimbangan spekulatif dan penyebaran maklumat yang mengelirukan dan palsu.
“Atas maksud itu juga, saya menggesa semua pihak berkepentingan untuk mengambil peluang mendapatkan maklumat yang betul dan lengkap tentang projek itu dan bertanya soalan, jika tidak jelas,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu itu membuat gesaan itu dalam satu kenyataan SaraCarbon seusai Bengkel Komuniti Dua Hari SaraCarbon dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) tentang NbS atau Penyelesaian Berasaskan Alam Semula Jadi di sini hari ini.
Jelasnya, pemimpin masyarakat perlu mempunyai pemahaman yang baik tentang projek karbon, seterusnya dapat menerangkan dan memberi taklimat kepada anak buah masing-masing.
“Projek SaraCarbon yang pertama di Sarawak ini akan menjadi model untuk projek lain yang serupa.
“Sebahagian daripada dasar Kerajaan Sarawak adalah mengembangkan ekonomi hijau yang menekankan kemampanan alam sekitar dan pengurusan mampan sumber asli.
“Bahkan ia selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) Kerajaan Sarawak menjelang 2030, yang mana salah satu teras pembangunannya adalah ke arah mencapai wilayah makmur dan berpendapatan tinggi demi memastikan kelestarian alam sekitar,” ujarnya.
Gerawat turut menegaskan bahawa tanah hak adat bumiputera (NCR) yang sering disebut oleh NGO tidak termasuk dalam kawasan projek ini.
“Saya melihat pemandangan udara landskap Marudi, Baram, yang kebanyakannya adalah tanah gambut.
“Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan NGO dalam isu kelabu seperti tuntutan tanah dan bekerjasama dengan pihak tersebut,” tambahnya.
Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Dr Penguang Manggil, mencadangkan agar SaraCarbon dan UNIMAS mengadakan sesi taklimat dan pelibatan dengan komuniti yang terjejas menggunakan dialek tempatan.
“Berinteraksi menggunakan bahasa Iban semasa berinteraksi dengan masyarakat Iban, dan menggunakan bahasa Kiput ketika berinteraksi dengan masyarakat Kiput.
“Ini bagi memastikan rakyat memahami kerana perkara yang dibincangkan (perdagangan karbon) adalah perkara yang sangat baharu dan sangat teknikal,” kata ADUN Marudi itu.
Sesi selama dua hari itu melibatkan wakil SaraCarbon, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah Marudi, Telang Usan dan Beluru, UNIMAS, NGO serta pemimpin masyarakat dari 50 rumah panjang dan kampung yang terletak di dalam kawasan lesen karbon.
Antara pengisian ialah Bengkel Komuniti Interaktif, dengan fokus mendidik peserta tentang prinsip dan aplikasi penyelesaian kitaran karbon berasaskan alam semula jadi dan kesannya kepada komuniti.
Selain itu, perbincangan panel turut diadakan melibatkan pemimpin pemikir dan penggubal dasar seperti wakil rakyat, tentang peranan NbS dalam membina komuniti berdaya tahan iklim.
Ketiga, komuniti menyokong SaraCarbon dan berkongsi pengalaman serta kisah kejayaan mereka dalam melaksanakan projek NbS untuk pemerkasaan ekonomi (kraf tangan dan kuih tradisional).

