KUCHING: Sarawak tidak memerlukan peraturan khusus berhubung kehadiran umat Islam ke acara penganut agama lain, seiring dengan kedudukan negeri ini yang menjadi contoh bagi keharmonian antara agama.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba’Kelalan, Baru Bian berkata, beliau berpegang teguh kepada pendirian bahawa Sarawak tidak memerlukan peraturan seperti itu.
“Sarawak telah lama menjadi contoh keharmonian agama, di mana penganut Kristian, Islam, Buddha, Hindu dan kepercayaan asal hidup bersama dengan aman serta saling hormat menghormati amalan keagamaan masing-masing.
“Keharmonian semula jadi ini telah dipupuk sejak turun-temurun tanpa keperluan campur tangan kerajaan yang berlebihan.
“Cadangan ini juga bercanggah dengan kedudukan unik Sarawak dalam Malaysia.
“Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Sarawak tidak mempunyai agama rasmi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Baru berkata, sebarang usaha untuk mengenakan sekatan terhadap aktiviti antara agama bukan sahaja tidak perlu, malah bertentangan dengan kebebasan beragama dan kepercayaan yang dilindungi dalam Perlembagaan.
Beliau memberitahu, satu kebimbangan utama ialah bagaimana garis panduan ini boleh memberi kesan kepada majlis perkahwinan Kristian, yang biasanya diadakan di gereja dengan nyanyian him dan khutbah sebagai elemen penting.
“Polisi yang bersifat sekatan ini boleh membawa kepada kesan yang tidak diingini, seperti menghalang penyertaan antara agama atau mewujudkan halangan yang tidak perlu terhadap tradisi yang telah lama berlandaskan saling menghormati,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, walaupun garis panduan ini kelihatan ditujukan kepada umat Islam, implikasinya pasti akan melibatkan penganut agama lain, yang menimbulkan persoalan mengenai bidang kuasa serta kemungkinan pencabulan hak komuniti agama lain, iaitu satu tindakan melampaui bidang kuasa yang tidak dimiliki oleh menteri persekutuan.
“Sarawak telah membuktikan bahawa keharmonian agama berkembang melalui kepercayaan, rasa hormat dan persefahaman, bukan melalui kawalan yang berlebihan.
“Dasar yang cuba menentukan bagaimana interaksi antara agama harus berlaku hanya berisiko merosakkan perpaduan yang telah menjadi ciri utama negeri ini selama berdekad-dekad,” katanya.
Menurutnya, orang Islam menghadiri acara di rumah ibadat bukan Islam selama bertahun-tahun tanpa sebarang isu.
Katanya lagi, majoriti rakyat Malaysia saling menghormati kepercayaan dan amalan agama masing-masing, dan tidak perlu dilayan seperti kanak-kanak yang perlu diajar bagaimana untuk bertindak.
Baru dalam pada itu berasa lega dan gembira apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa tiada keperluan bagi peraturan rasmi atau garis panduan yang menentukan bagaimana umat Islam harus bertindak dalam acara penganut agama lain, seperti yang dicadangkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
Beliau juga menyatakan sokongan terhadap kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, dan Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Snowdan Lawan, tentang cadangan garis panduan yang diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Na’im Mokhtar.
“Keputusan Kabinet bahawa tiada keperluan untuk garis panduan rasmi bagi umat Islam menghadiri acara penganut agama lain adalah satu keputusan yang tepat dan wajar.
“Pada masa akan datang, isu sebegini bukan sahaja perlu dibincangkan secara menyeluruh di peringkat Kabinet, tetapi juga harus mendapatkan pandangan daripada pihak berkepentingan bagi mengelak syak wasangka serta ketegangan yang tidak perlu dalam kalangan rakyat,” ujarnya.

