TOKYO: Kerajaan Sarawak komited memperluas kerjasama dengan Jepun ke arah penerokaan bidang baharu berimpak tinggi, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Ini termasuk bidang teknologi hijau, pasaran karbon global, sains biodiversiti dan pembangunan modal insan.
“Kita yakin bahawa hubungan erat antara Persatuan Jepun-Malaysia (JMA) dan Jabatan Hutan Sarawak yang sudah mencapai tiga dekad ini bersedia membuka lembaran baharu dalam pelbagai bidang strategik.
“Kerjasama ini berpotensi diperluas ke bidang baharu seperti pembangunan profesional dan kapasiti dalam pemantauan karbon, LiDAR, GIS serta sains biodiversiti.
“Begitu juga dengan pelibatan dalam pasaran karbon antarabangsa – selaras dengan Rangka Kerja Artikel 6.2, program pemerkasaan belia dan komuniti serta inisiatif pertukaran pelajar, penyelidik dan ahli akademik antara institusi Jepun dan universiti-universiti di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi kenyataan UKAS semasa Majlis Sambutan 30 Tahun Jalinan Kerjasama antara JMA dan Jabatan Hutan Sarawak yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Tokyo, hari ini.
Abang Johari memuji JMA kerana menjadi jambatan (penghubung) penting antara rakyat Jepun dengan Sarawak.
“Jalinan kerjasama sejak tahun 1995 bukan sahaja tertumpu kepada pemulihan hutan, tetapi melibatkan pembangunan komuniti serta pendidikan alam sekitar di seluruh negeri ini.
“Kita amat menghargai hubungan dengan Jepun — bukan sahaja dari segi perdagangan dan pelaburan, tetapi juga hubungan rakyat dengan rakyat, pertukaran budaya, pemindahan ilmu serta komitmen terhadap pemeliharaan alam sekitar.



