KUCHING: Sarawak kekal yakin dengan potensi jangka panjang industri hidrogen walaupun beberapa projek hidrogen hijau utama dilaksanakan pada skala lebih kecil berbanding perancangan asal, mengikut keadaan pasaran semasa dan cabaran pembiayaan global.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, isu logistik yang sering dikaitkan dengan industri hidrogen bukan penghalang utama kepada pembangunan sektor tersebut kerana pelbagai penyelesaian teknologi sedang dibangunkan di peringkat global.
Menurutnya, antara pendekatan yang sedang diterokai termasuklah penukaran hidrogen kepada ammonia serta penggunaan teknologi hibrid yang mampu memudahkan proses penyimpanan dan pengangkutan.
“Kita membincangkan perkara ini secara terperinci kerana cabaran utama hidrogen ketika ini ialah logistik.
“Bagaimanapun, isu logistik boleh diatasi menerusi beberapa kaedah termasuk penghasilan ammonia serta teknologi lain yang sedang dibangunkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, aspek teknikal berkaitan pengangkutan hidrogen termasuk penggunaan hidrogen cecair dan sistem penyimpanan khusus perlu ditangani oleh pihak industri yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.
Tambahnya, perkara yang lebih penting ketika ini ialah memastikan kos pengeluaran hidrogen terus menurun supaya mampu bersaing dengan sumber tenaga konvensional.
Terdahulu, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni memaklumkan projek eksport hidrogen H2biscus dan H2ornbill perlu disusun semula dan diperkecil skala pelaksanaan susulan kekangan pembiayaan global semasa.
Bagaimanapun, beliau menegaskan strategi jangka panjang Sarawak untuk menjadi pengeksport hidrogen hijau ke pasaran utama seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang kekal tidak berubah.
Sebelum ini, laporan media antarabangsa menyebut projek hidrogen hijau yang melibatkan kerjasama SEDC Energy bersama syarikat Jepun, Sumitomo Corporation dan Eneos, disusun semula susulan kekangan pembiayaan dan peningkatan kos penghantaran.
Projek berkenaan pada asalnya dirancang menghasilkan 90,000 tan metrik hidrogen hijau setahun menjelang 2030 menggunakan tenaga hidro Sarawak untuk pasaran eksport Jepun.



