KUCHING: Kerajaan Sarawak memperkukuh kerjasama dengan sektor swasta bagi memperkasa pengeluaran padi berskala besar, dengan pelabur berperanan menyediakan modal, infrastruktur dan teknologi, manakala pekebun kecil dihubungkan terus dalam rantaian pengeluaran.
Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan berkenaan penting bagi meningkatkan jumlah pengeluaran beras negeri dengan mengambil kira kos pembangunan infrastruktur pertanian dan penggunaan teknologi yang memerlukan pelaburan tinggi.

Menurutnya, model kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan pekebun kecil itu merupakan antara pendekatan yang diberi keutamaan Kerajaan Sarawak dalam usaha memperkukuh keselamatan makanan.
“Untuk mendapatkan jumlah pengeluaran beras yang lebih besar, kita sekarang sedang melibatkan sektor swasta supaya mereka masuk dengan pelaburan tertentu dan pada masa sama dihubungkan dengan pekebun kecil.
“Dengan cara itu, kita boleh mendapatkan jumlah pengeluaran yang diperlukan. Pelaburannya agak tinggi terutama untuk membina infrastruktur dan menyediakan teknologi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Persidangan Padi Sarawak Kedua (SARICON II) 2026 bertemakan ‘Masa Depan Beras Mampan: Inovasi, Kerjasama dan Daya Tahan’ di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata Kerajaan Sarawak kini giat mendapatkan penyertaan sektor swasta dan menerima maklum balas positif daripada pihak yang berminat melabur dalam pengeluaran padi.
Ujarnya, kejayaan kerjasama seumpama itu sudah dapat dilihat di Kuala Rajang apabila sebuah syarikat bekerjasama dengan petani untuk mengusahakan tanah terbiar bagi penanaman padi.
“Syarikat berkenaan membantu petani menghasilkan padi di tanah yang sebelum ini terbiar dan sekarang mereka menghasilkan kira-kira enam tan sehektar.
“Sebahagian daripada hasil diberikan kepada petani dan selebihnya dijual di pasaran terbuka. Ia berjaya di Kuala Rajang dan kerana kejayaan itu, sektor swasta kini bersedia masuk melabur dalam pengeluaran padi,” ujarnya.
Katanya, Sarawak mempunyai tanah yang luas, namun keluasan tanah semata-mata tidak menjamin peningkatan pengeluaran sekiranya tidak disokong pengurusan ladang, teknologi dan benih yang sesuai.
“Apabila ladang direka bentuk mengikut struktur tertentu, kita boleh mengurus ladang dengan lebih baik dan pada masa sama mengurus benih yang digunakan untuk pengeluaran padi.
“Kita mempunyai tanah, tetapi tanah sahaja tidak mencukupi. Kita mesti tahu bagaimana menguruskan tanah,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, keselamatan makanan kini merupakan isu global dan Malaysia perlu meningkatkan tahap sara diri beras bagi mengurangkan kebergantungan kepada negara pengeluar, khususnya sekiranya berlaku sekatan atau pengurangan eksport.
“Malaysia mesti mampu berdikari dan Sarawak mahu menyumbang kepada tahap sara diri beras negara.
“Malah ini dibuktikan apabila negara yang mempunyai keluasan tanah lebih kecil turut mampu mencapai produktiviti pertanian tinggi menerusi teknologi dan pengurusan yang cekap,” katanya.
Mengambil contoh Belanda, beliau berkata negara itu mempunyai keluasan relatif terhad tetapi sektor pertaniannya menjadi antara aktiviti ekonomi penting, selain muncul sebagai pengeksport utama produk pertanian termasuk bunga.
“Taiwan juga tidak mempunyai masalah besar dengan pengeluaran padi walaupun tanahnya tidak banyak. Di hadapan rumah pun mereka menanam padi.
“Singapura pula bergerak ke atas dengan pertanian menegak, sedangkan Sarawak mempunyai tanah yang luas. Sebab itu kerajaan Sarawak memberikan keutamaan kepada penggunaan teknologi, tanah yang tersedia dan kaedah baharu mengurus ladang,” ujarnya.



