ARTIKEL

Foto: RAMIDI SUBARI

Sarawak Tunggu Keputusan Koridor Kabel untuk Eksport Tenaga ke Singapura

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak sedang menunggu keputusan muktamad berhubung koridor kabel penghantaran elektrik sebelum merealisasikan eksport tenaga boleh diperbaharui ke Singapura.

Ia merupakan laluan fizikal yang diluluskan untuk pemasangan kabel penghantaran elektrik ke Singapura melalui rangkaian kabel voltan tinggi dengan merentasi perairan dan wilayah beberapa negara.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerjasama tenaga yang sedang dibangunkan itu adalah sebahagian daripada persetujuan dua hala yang berpotensi menjadi asas kepada pembentukan Grid Kuasa ASEAN pada masa hadapan.

“Pada ketika ini, perbincangan untuk membekalkan tenaga ke Singapura sedang berjalan.

“Kita hanya menunggu keputusan berkaitan koridor kabel,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik (APGH) 2026 di sini, hari ini.

Mengulas langkah seterusnya, beliau berkata perkara itu kini berada di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA).

Menurutnya, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri PETRA, Datuk Seri Fadillah Yusof sedang meneruskan libat urus dengan rakan sejawat di peringkat antarabangsa bagi memperkukuh kerjasama tenaga serantau.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata Sarawak berada pada kedudukan yang baik untuk menyokong pembangunan Grid Kuasa ASEAN memandangkan negeri ini menyasarkan kapasiti penjanaan elektrik sebanyak 10 gigawatt (GW) menjelang 2030.

“Pada masa ini Sarawak menghasilkan kira-kira 6 gigawatt tenaga. Apabila semua rangkaian eksport tenaga dapat direalisasikan kelak, kita masih mempunyai lebihan kapasiti yang boleh dimanfaatkan untuk menyokong keperluan tenaga serantau.

“Melalui Sarawak Energy Berhad (SEB) kini membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat, selain mempunyai kepentingan ekuiti dalam projek tenaga di Kalimantan Timur.

“Kita juga sedang mengembangkan bekalan tenaga ke Sabah dan pada masa hadapan terdapat potensi sambungan ke Filipina.

“Pada masa yang sama, perbincangan dengan Brunei sedang berjalan manakala perbincangan untuk membekalkan tenaga ke Singapura kini hanya menunggu keputusan berkaitan koridor kabel,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU