ARTIKEL

Sarawak tunjuk contoh kecekapan tadbir urus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SINGAPURA: Perkhidmatan Awam Sarawak perlu sentiasa menilai semula cara dan proses kerja bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat kekal berkesan serta mengurangkan kerenah birokrasi.

Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, berkata penilaian berterusan membolehkan penambahbaikan dilakukan selaras dengan perkembangan teknologi dan keperluan semasa supaya perkhidmatan awam lebih cekap, responsif, dan berorientasikan hasil.

“Langkah ini penting bagi memastikan pentadbiran Sarawak kekal relevan, tangkas, dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan dasar serta kemajuan teknologi,” katanya ketika berucap pada pembukaan Program Sarawak Civil Service (SCS) One Team Retreat (OTR) 2025 di sini.

Beliau berkata penjawat awam perlu berani berubah dan tidak terikat dengan amalan lama yang boleh melambatkan kecekapan organisasi.

“Sebagai pemimpin, kita mesti sedar bahawa perubahan akan sentiasa berlaku. Jika kita tidak menyesuaikan diri, jabatan kita akan ketinggalan,” ujarnya.

Abu Bakar turut mengingatkan setiap jabatan supaya menjadikan penilaian berterusan sebagai budaya kerja bagi mengenal pasti kelemahan dan menambah baik sistem penyampaian.

“Jika terdapat kekurangan dari segi pengetahuan atau kemahiran, kita perlu meningkatkannya melalui latihan supaya jabatan sentiasa bersedia menghadapi cabaran baharu,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan semangat kerjasama antara agensi kerajaan bagi memperkukuh hubungan dan penyampaian perkhidmatan.

“Jangan ada ketua jabatan atau timbalan yang tidak bertegur sapa. Kita mesti bersatu dan saling menyokong supaya Perkhidmatan Awam Sarawak terus maju dan berdaya saing,” tegasnya.

Beliau berkata pemilihan Singapura sebagai lokasi program adalah kerana negara itu menjadi contoh terbaik dalam tadbir urus, pembangunan bandar, dan kecekapan perkhidmatan awam.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Operasi), Datu Hii Chang Kee, berkata SCS OTR 2025 ialah kesinambungan daripada inisiatif High Performance Team (HPT) dan menekankan kerjasama, integrasi, serta pendekatan holistik kerajaan.

Katanya, program ini bukan sekadar acara tahunan tetapi telah menunjukkan hasil nyata terhadap keberkesanan perkhidmatan awam.

“Daripada 48 cadangan tahun lalu, separuh telah dilaksanakan manakala selebihnya sedang dipantau kerana memerlukan masa lebih panjang,” katanya.

Jelas Hii, SCS OTR kali ini turut menggunakan pendekatan ‘Revisit, Rethink, Recharge’ (3R) yang diperkenalkan Setiausaha Kerajaan Sarawak bagi menilai pencapaian, memperbaiki amalan sedia ada, dan merancang langkah strategik baharu.

Program hari pertama dimulakan dengan senaman pagi sebelum diteruskan dengan tiga forum yang membincangkan strategi pembangunan ekonomi, peningkatan kecekapan tenaga kerja, dan pemerkasaan teknologi.

Antara yang menyampaikan pembentangan ialah Setiausaha Tetap Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan, Dzulkornain Masron; Setiausaha Tetap Kementerian Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datu Abang Ahmad Abang Morni; serta Setiausaha Tetap Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datu Elizabeth Loh.

Program turut menampilkan sesi perkongsian khas daripada Bank Dunia bertajuk “Bergerak ke Arah Belanjawan Berasaskan Hasil di Sarawak: Prinsip Utama, Jangkaan Hasil dan Kemajuan.”

BERITA LAIN

6 NEGERI TERIMA RM21.26 BILION

KUALA LUMPUR: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM21.26 bilion kepada enam negeri yang ketinggalan dari segi pembangunan di bawah Belanjawan 2027 dengan agihan mengambil kira

Langit Kalimantan bertukar jingga

JAKARTA: Seolah-olah babak dalam filem Mad Max, langit Kalimantan Tengah, Indonesia kembali diselubungi jerebu tebal berwarna jingga keperangan apabila kebakaran hutan dan tanah terus melanda

BERITA TERBARU

Chip semikonduktor ngaga meter karan

KUCHING: SMD Semiconductor deka nanggam kerejasama enggau siti kompeni ari China dikena ngadu langkar tengkebang chip semikonduktor Sarawak dikena ngaga meter karan. Premier Sarawak, Datuk

Projek jematan Sarawak diaku

KUALA LUMPUR: Jematan Muara Lassa di Bagi Menua Mukah nurai pemujur ngemegah ati pengudah Opis Kereja Raya (JKR) Sarawak menang kategori projek besai lebuh Road