KUCHING: Penyerahan zakat perniagaan bernilai RM325,000 daripada Sarawak Water kepada Tabung Baitulmal Sarawak mencerminkan peranan aktif syarikat dalam menyokong agenda pembangunan sosial dan kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.
Majlis penyerahan tersebut disempurnakan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menerusi satu majlis rasmi yang berlangsung di Aras 5, Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Seri Julaihi Narawi berkata, penyerahan itu merupakan sumbangan zakat perniagaan pertama syarikat sejak penubuhan Sarawak Water sebagai satu entiti pada Ogos 2026.
“Ini merupakan kali pertama atas nama entiti Sarawak Water Sdn Bhd menyampaikan zakat kepada Baitulmal sebanyak RM325,000 yang disaksikan oleh Premier,” katanya ketika ditemui media selepas majlis penyerahan itu, di sini, hari ini.
Beliau menambah, selain membayar cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), syarikat juga dibolehkan menunaikan zakat.
Sementara itu, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Water, Malseni Jamal berkata, pembayaran zakat perniagaan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab korporat syarikat dalam berkongsi rezeki serta membantu golongan yang memerlukan.
Tegasnya, Sarawak Water akan terus memperkukuh peranan syarikat sebagai organisasi yang bertanggungjawab, berintegriti dan sentiasa mengutamakan kesejahteraan rakyat selaras dengan aspirasi Kerajaan Sarawak.
Hadir sama ialah Setiausaha Kerajaan Sarawak merangkap Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Sarawak Water, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki.


