ARTIKEL

Sekolah Menengah Islam Antarabangsa Sarawak siap 2027

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebuah Sekolah Menengah Antarabangsa Islam Sarawak kini dalam fasa pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada tahun 2027, sekali gus memperkukuh sistem pendidikan Islam holistik di negeri ini.

Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata usaha penubuhan sekolah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa umat melalui pendidikan yang seimbang antara ilmu duniawi dan ukhrawi.

“Sekolah ini bakal menerima kumpulan pertama pelajar dari Maahad Tahfiz Tun Abdul Rahman Yaakub (MATARI) yang mengikuti Kurikulum Bersepadu Tahfiz Sarawak (KBTS),” katanya menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dalam Seminar Kebangsaan Pendidikan Islam di Daya Hotel & Convention Centre, hari ini.

Menurut beliau, kerajaan negeri turut membangunkan 10 sekolah rendah agama dan dua sekolah menengah agama di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS), yang secara keseluruhannya telah melahirkan ramai tokoh yang berperanan penting dalam institusi agama dan pentadbiran negeri.

Beliau turut memaklumkan bahawa bermula tahun hadapan, Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang melaksanakan pendidikan tinggi percuma kepada semua anak Sarawak di institusi milik kerajaan negeri.

“Inisiatif ini akan membuka lebih banyak peluang kepada pelajar yang berkelayakan, khususnya dari luar bandar, untuk melanjutkan pelajaran tanpa dibebani kos.

“Langkah ini merupakan antara strategi penting dalam merealisasikan visi Sarawak sebagai negeri maju dan makmur menjelang tahun 2030,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan peranan pendidikan Islam sebagai asas pembinaan akhlak dan kekuatan umat, selari dengan tuntutan agama untuk menuntut ilmu sepanjang hayat.

“Pendidikan agama bukan sahaja berlaku secara formal di institusi dan pusat tahfiz, malah perlu digiatkan secara tidak formal melalui masjid dan surau bagi memperkasa ilmu dan membentuk keperibadian.

“Dengan perkembangan pesat teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau dan aeroangkasa, masyarakat Islam perlu dilengkapi dengan ilmu yang mampu mengimbangi kemajuan dunia dan nilai agama,” ujarnya.

Seminar Kebangsaan Pendidikan Islam sempena sambutan 70 Tahun Majlis Islam Sarawak diadakan dengan tema “Pendidikan Berasaskan Komuniti Memperkasakan Umat.”

Abang Johari turut menyatakan penghargaan kepada Majlis Islam Sarawak dan Biro Perkhidmatan Pendidikan atas kejayaan menganjurkan seminar yang memberi impak besar kepada pembangunan insaniah di negeri ini.

“Saya yakin seminar ini mampu memberi manfaat kepada para peserta dan memperluas kefahaman dalam usaha memperkasa umat melalui pendekatan pendidikan Islam yang berteraskan komuniti,” katanya sebelum merasmikan seminar tersebut.

Abdul Rahman mewakili Premier menandatangani plak sebagai tanda perasmian yang disaksikan oleh tetamu kehormat yang lain.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU