SIBU: Seorang terbunuh manakala 10 lagi cedera selepas dua buah kenderaan terlibat dalam satu kemalangan di Sungai Alit, Jalan Bintulu-Sibu semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu pada jam 2.25 petang.
Susulan itu, ujarnya, seramai enam anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau berserta sebuah jentera FRT dikerahkan ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan dua buah kenderaan, iaitu Perodua Axia dan Perodua Alza, yang membabitkan 11 orang mangsa.
“Tujuh mangsa lain telah dikeluarkan oleh orang awam dan seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak paramedik Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelasnya.
Jurucakap itu berkata, semasa ketibaan bomba di tempat kejadian, tiga lagi mangsa masih tersepit dalam kenderaan.
Beliau berkata, komander operasi mengarahkan anggota bomba untuk mengeluarkan mangsa menggunakan ‘scoop stretcher’ dan mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak perubatan hospital bagi tindakan selanjutnya.
Mayat mangsa yang meninggal itu, katanya, kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Setelah selesai membuat kerja-kerja penyelamatan dan memastikan keadaan selamat bagi pengguna jalan raya yang lain, anggota kemudian balik ke balai,” ujarnya.





