ARTIKEL

Sepanyol kembali bertakhta

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

Isnin lalu, seluruh dunia menyaksikan kehebatan pasukan Sepanyol, yang turut dikenali sebagai La Roja, menewaskan juara bertahan, Argentina, pada perlawanan akhir Piala Dunia 2026 menerusi jaringan dramatik Ferran Torres pada masa tambahan.

Kemenangan itu bukan sahaja menamatkan penantian peminat Sepanyol untuk kembali bergelar juara dunia, malah menjadi bukti bola sepak moden masih memberi ruang kepada kesabaran, perancangan dan keberanian mempertaruhkan bakat muda.

Seperti yang saya tulis dalam kolum sebelum ini, saya benar-benar berharap pasukan kegemaran saya itu dapat mengulangi kejayaan bersejarah yang diraih pada 2010.

Harapan itu bukan sekadar lahir kerana minat terhadap La Roja, tetapi kerana saya ingin melihat satu lagi generasi pemain berbakat mengukir nama dalam sejarah bola sepak dunia.

Pada malam itu, saya bersama-sama beberapa sahabat memilih untuk menyaksikan perlawanan bersejarah tersebut di pekarangan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Pada pandangan kami, itulah lokasi paling sesuai kerana kawasannya luas dan sering menjadi tumpuan orang ramai bagi acara besar.

Screenshot

Seawal jam 1.00 pagi, kami sudah berada di lokasi kerana bimbang tidak mendapat tempat apabila orang ramai membanjiri kawasan itu.

Sangkaan kami rupa-rupanya sedikit tersasar. Kami antara yang terawal tiba.

Sempat kami membuka kerusi rehat atau kerusi healing, mencari sudut yang selesa sebelum membeli minuman serta makanan ringan sebagai bekalan sepanjang perlawanan.

Suasana yang pada mulanya tenang perlahan-lahan berubah apabila semakin ramai penyokong hadir.

Menariknya, bukan sahaja warga tempatan memenuhi ruang itu, malah beberapa pelancong asing turut sama menyertai kemeriahan.

Walaupun berlainan bahasa dan berasal dari negara yang berbeza, malam itu kami berkongsi satu bahasa yang sama, iaitu bahasa bola sepak.

Sorakan setiap kali peluang tercipta, keluhan apabila rembatan tersasar dan tepukan gemuruh selepas setiap aksi menyelamat penjaga gol menjadikan suasana seolah-olah kami benar-benar berada di stadium.

Itulah keindahan Piala Dunia. Sebelum sepak mula lagi, saya sudah menjangkakan Sepanyol akan menguasai permainan.

Di bawah bimbingan Luis de la Fuente, identiti permainan mereka begitu jelas.

Penguasaan bola, hantaran pendek yang pantas serta tekanan tinggi sebaik kehilangan bola menjadi kekuatan utama mereka.

Apabila beliau mengambil alih pasukan pada penghujung 2022 bagi menggantikan Luis Enrique, ramai yang mempersoalkan keputusannya membawa begitu ramai pemain muda.

Pada mulanya saya juga berasa hairan.

Mengapa mempertaruhkan pemain yang kurang berpengalaman di pentas sebesar Piala Dunia?

Namun, dari satu sudut lain, saya melihat beliau sebenarnya sedang membina satu projek jangka panjang.

Kepercayaan yang diberikan kepada pemain seperti Lamine Yamal, Pau Cubarsi, Pedri, Gavi dan Nico Williams akhirnya membuahkan hasil apabila mereka berkembang menjadi tonggak utama pasukan.

Perlawanan akhir itu sendiri membuktikan perancangan tersebut.

Sepanyol bermula dengan cukup garang apabila percubaan awal Lamine Yamal diselamatkan oleh Emiliano Martinez.

Selepas itu, Mikel Oyarzabal dan Alejandro Baena pula silih berganti menguji benteng Argentina, namun Martinez terus menjadi penyelamat pasukannya.

Sebaliknya, Argentina kelihatan bergelut untuk keluar daripada tekanan. Mereka jarang menguasai bola dan hampir tidak diberi ruang membina serangan. Lionel Messi, yang sering menjadi nadi permainan, dikawal dengan begitu rapi sehingga sukar mempengaruhi rentak perlawanan.

Setiap kali beliau menerima bola, sekurangkurangnya dua pemain Sepanyol sudah bersedia menutup ruang.

Statistik perlawanan jelas menceritakan segalagalanya.

Sepanyol melakukan 20 percubaan dengan 11 daripadanya tepat ke arah gawang, manakala Argentina hanya mampu menghasilkan tiga percubaan sepanjang 120 minit permainan.

Selain itu, penguasaan bola sebanyak 68 peratus berbanding 32 peratus turut menggambarkan penguasaan mutlak La Roja. Peluang Argentina untuk bangkit semakin tipis apabila Enzo Fernandez dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Cubarsi.

Bermain dengan 10 pemain ketika menentang pasukan yang begitu selesa mengawal bola ibarat satu tugas yang hampir mustahil.

Memasuki masa tambahan, Sepanyol terus mengasak.

Nico Williams sempat meledak jaringan, namun gol tersebut dibatalkan selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR). Ketika itu, saya mula tertanyatanya sama ada perlawanan bakal ditentukan menerusi sepakan penalti.

Sekiranya perlawanan berlanjutan ke penentuan sepakan penalti, Argentina dilihat mempunyai peluang lebih cerah kerana Sepanyol memiliki rekod yang kurang baik dalam situasi tersebut.

Namun, pada minit ke-106, detik yang dinanti akhirnya tiba.

Ferran Torres melepaskan rembatan yang menewaskan Martinez dan menggegarkan gawang Argentina.

Ketika itu seluruh kawasan tontonan bergema dengan sorakan. Saya dan rakan-rakan terus melompat bangun daripada kerusi sambil bersorak sekuat hati.

Dalam sekelip mata, segala rasa mengantuk yang menemani kami sejak awal pagi hilang begitu sahaja.

Jaringan itu mengingatkan saya kepada gol emas Andres Iniesta pada perlawanan akhir Piala Dunia 2010.

Bezanya, kali ini nama Ferran Torres pula terpahat sebagai wira baharu Sepanyol. Apabila wisel penamat dibunyikan, saya dapat melihat kegembiraan terpancar pada wajah setiap penyokong Sepanyol.

Ferran Torres dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan, Rodri merangkul Anugerah Bola Emas sebagai pemain terbaik kejohanan, Unai Simon membawa pulang Sarung Tangan Emas, manakala Pau Cubarsi diiktiraf sebagai Pemain Muda Terbaik.

Pengiktirafan itu melengkapkan malam yang sempurna buat La Roja. Selesai sahaja majlis penyampaian trofi, saya dan sahabat terus berkemas pulang.

Ketika itu jam sudah menghampiri 6.30 pagi.

Ada yang terus menuju ke tempat kerja tanpa sempat melelapkan mata, manakala ada yang bernasib baik kerana sedang bercuti.

Walaupun badan terasa letih, hati kami penuh kepuasan.

Begitulah indahnya bola sepak.

Kadangkala ia bukan sekadar tentang siapa yang menjulang trofi, tetapi tentang perjalanan, persahabatan dan kenangan yang tercipta sepanjang menyokong pasukan kesayangan. 

BERITA LAIN

KESIHATAN nikmat tidak ternilai

KESIHATAN merupakan antara nikmat terbesar yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada manusia. Dengan tubuh yang sihat, seseorang dapat melaksanakan ibadah, mencari rezeki, menuntut ilmu dan

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

BERITA TERBARU

Rakyat protes dasar berat sebelah

BANGKOK: Ratusan penunjuk perasaan berhimpun berhampiran Pusat Konvensyen Nasional Queen Sirikit (QSNCC) pada Khamis bagi membantah dasar Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia yang

Geran pemula bantu usahawan muda Sarawak

KUCHING: Usahawan belia di Sarawak berpeluang memohon geran sehingga RM15,000 menerusi Geran SYStartUP bagi membantu menampung kos permulaan dan pembangunan perniagaan masing-masing. Timbalan Menteri Belia,