KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyasar untuk melahirkan seramai 485 penjaga berkemahiran khusus tahun ini bagi memperkukuhkan kualiti industri penjagaan melibatkan kanak-kanak, warga emas, dan golongan berkeperluan khas.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, latihan kepada penjaga itu juga dikendalikan oleh Institut Sosial Malaysia (ISM).
“Tahun lalu, kita sudah mencapai sasaran 385 penjaga berkemahiran khusus ini, manakala kita menyasarkan seramai 485 untuk tahun ini.
“Namun, angka yang saya sebutkan itu cuma sasaran sahaja, dan kita percaya jumlah itu juga boleh menunjukkan peningkatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Hari Wanita Antarabangsa Peringkat Zon Borneo 2025 di Hotel UCSI di sini, hari ini.
Menjelas lanjut, beliau memaklumkan bahawa penjaga berkemahiran khusus itu juga terdiri daripada pelbagai usia, dan keutamaan diberikan kepada mereka yang masih boleh bekerja.
“Latihan ini juga bukan sahaja ditumpukan kepada penjagaan warga emas dan kanak-kanak tetapi juga untuk semua.
“Ia penting bagi melahirkan penjaga berkemahiran dengan sijil, dan insya-Allah kita akan menawarkan latihan di peringkat diploma pula nanti,” ujarnya.
Program latihan penjaga berkemahiran itu juga berada di bawah Kementerian Sumber Malaysia (KESUMA) dan dikendalikan oleh ISM.
Dalam pada itu, tambahnya, Malaysia akan menjadi tuan rumah kepada Kepengerusian ASEAN 2025 tahun ini, dan industri penjagaan sememangnya menjadi fokus utama program tersebut.
“Kita juga akan bersama dengan negara serantau, terutama sekali Laos, untuk menggalakkan usaha berkenaan,” jelasnya.
Sementara itu, ketika berucap pada acara hari ini, Nancy memaklumkan bahawa Hari Wanita Antarabangsa bukan sekadar untuk meraikan pencapaian wanita.
Ia juga menjadi platform untuk meningkatkan kesedaran serta mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pelbagai bidang, termasuk masyarakat, ekonomi, serta politik.
Lebih istimewa dalam penganjuran pada tahun ini, KPWKM mendapat kerjasama baharu daripada Sarawak Energy Bhd dan Universiti UCSI, di samping rakan sedia ada seperti Kelab Wanita Ikon Malaysia, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak serta Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah.
Kira-kira 500 peserta, yang terdiri daripada wanita dari Sabah dan Sarawak, meraikan sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2025 Peringkat Zon Borneo, hari ini.


