ARTIKEL

TANGKAP…Dua ekor buaya yang berjaya ditangkap di Sungai Lemai, Batang Balingian, hari ini. FOTO: JAPEN BALINGIAN

SFC Perhebat Operasi Kawal Populasi Buaya di Balingian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BALINGIAN: Pasukan Respons Pantas Hidupan Liar (SWAT) Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) berjaya menangkap dua ekor buaya jantan berukuran 13.1 kaki dan 14.7 kaki dengan anggaran berat antara 300 hingga 500 kilogram setiap seekor di Sungai Lemai, Batang Balingian, kira-kira 8 pagi tadi.

Tangkapan itu dilakukan menerusi operasi khas yang berlangsung dari 12 hingga 25 Oktober bagi mengawal populasi buaya di kawasan penempatan penduduk, sekali gus mengurangkan risiko konflik antara reptilia berkenaan dengan manusia.

Sehubungan itu, operasi berkenaan turut dilaksanakan susulan beberapa kes dan aduan penduduk berkaitan kehadiran serta serangan buaya terhadap manusia sebelum ini.

Pemantauan sepanjang operasi juga membolehkan pasukan berkenaan mengesan kehadiran buaya di kawasan yang telah dikenal pasti.

Menerusi notis pemakluman operasi khas di Batang Mukah daripada Pejabat Daerah Mukah, penduduk diminta memberikan kerjasama dan mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh operasi dijalankan.

Pada masa sama, penduduk dinasihatkan supaya mengurangkan aktiviti di sungai, termasuk memancing, menjala dan memukat, terutama di kawasan yang dipasang umpan oleh pihak SFC.

Orang ramai turut diminta mengurangkan pergerakan menggunakan bot atau perahu, khususnya ketika air pasang.

Selain itu, penduduk dilarang mengganggu peralatan operasi, termasuk umpan, kail dan pelampung yang dipasang oleh pasukan berkenaan.

Sekiranya melihat pelampung hanyut atau menemuinya di lokasi lain, orang ramai diminta segera melaporkan perkara itu kepada Pusat Gerakan Operasi SFC.

Semua buaya yang berjaya ditangkap akan melalui proses dokumentasi serta pengendalian mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan SFC.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU