BAU: Kawasan Singai bakal melalui penyusunan semula pentadbiran dengan cadangan mewujudkan tiga kampung baharu susulan peningkatan jumlah penduduk yang ketara.
Ahli Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, Datuk Henry Harry Jinep berkata, cadangan tersebut kini menunggu kelulusan Kabinet sebelum pelaksanaannya dapat dimulakan.
Menurutnya, pertumbuhan pesat penduduk di kawasan Singai yang kini dianggarkan mencecah kira-kira 18,000 orang menjadi faktor utama perancangan tersebut.
“Penduduk yang semakin ramai menyebabkan kita merancang untuk membahagikan kepada tiga kampung baharu, masing-masing dengan kira-kira 6,000 penduduk.
“Langkah ini penting bagi memastikan penyelarasan dan pentadbiran dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan sesi dialog awam BiSingai di Pusat Persatuan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) di sini, hari ini.
Tambahnya, dengan penubuhan kampung baharu itu, ramai ketua masyarakat termasuk penghulu akan dilantik bagi menyelia urusan setempat dan meningkatkan penyampaian perkhidmatan di peringkat akar umbi.
“Dengan penambahan ini, jumlah kampung di kawasan Singai akan meningkat kepada 17 buah,” ujarnya.
Beliau berkata, perkembangan ini mencerminkan pembangunan pesat di kawasan Dewan Undangan Negeri Tasik Biru, dengan lebih 10 kampung baharu telah muncul dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Pengukuhan struktur pentadbiran amat penting bagi memastikan pembangunan dan perkhidmatan awam dapat disampaikan secara efektif kepada penduduk yang semakin ramai dan berselerak,”katanya.


