ARTIKEL

PENCETUS KEJAYAAN...Petinju B.A.D Miri bersama wakil penaja mereka.

Sokongan semua pihak cetus kejayaan petinju B.A.D Miri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Ketua Jurulatih Atlet Pembangunan Tinju (B.A.D.) Miri, Melvin Wee mengakui bahawa sokongan serta kerjasama pelbagai pihak menjadi pencetus kecemerlangan petinju semasa Karnival Tinju Bakat, Junior dan Remaja Sibu Edisi Ke-2 2026.

Sokongan tersebut diperoleh daripada kalangan keluarga, pihak sekolah, sahabat handai serta badan korporat, terutama Miracle Party K (MPK) BV 265.

“Pihak kita ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutama keluarga, pihak sekolah, rakan taulan petinju dan juga pihak penaja iaitu Miracle Party K (MPK) BV 265.

“Komitmen yang anda berikan merupakan pencetus kecemerlangan petinju pada karnival yang berlangsung di Sibu baru-baru ini,” ujar Melvin kepada Arena Suara Sarawak.

Beliau yang mewakili badan induk berkenaan berharap agar sokongan atau kerjasama yang terjalin terus berkekalan pada masa akan datang.

“Beberapa kejohanan lain berada dalam radar kita sepanjang tahun ini. Justeru, sokongan terutama dari segi tajaan seperti ini sememangnya amat kita harapkan,” tambah Melvin.

Kem B.A.D. Miri turut dikendalikan oleh dua lagi individu penting iaitu Claryst Kuon (jurulatih dan pengurus) serta Sheikh Khairul Anwar (jurulatih).

Dalam penampilan di Karnival Tinju Bakat, Junior dan Remaja Sibu Edisi Ke-2 2026 baru-baru ini, petinju B.A.D. Miri mempamerkan aksi cemerlang apabila meraih 13 pingat secara keseluruhan.

Pencapaian tersebut merangkumi lima pingat emas, enam perak dan dua gangsa, sekali gus memberikan gambaran di luar jangkaan buat peminat sukan tinju khususnya di Bahagian Miri.

Lebih membanggakan, petinju muda Alexzander Madang Anak Juti turut dipilih sebagai penerima Anugerah Petinju Berbakat Bawah 19 Tahun.

“Pencapaian yang diperoleh para petinju kali ini meletakkan B.A.D. Miri di kelas tersendiri. Dengan kata lain, kita berupaya menjadikan Bahagian Miri sebagai lubuk kemunculan petinju baharu yang berbakat,” jelas Melvin.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU