KUCHING: Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak (LAKMNS) menjalinkan kerjasama dengan Suara Sarawak, sekali gus menjadi akhbar rasmi bagi liputan Festival Maal Hijrah 1445H/2023 pada 28 hingga 30 Julai ini.
Kerjasama yang dibuat menerusi pertemuan di pejabat Suara Sarawak, semalam, ini juga bakal diteruskan bukan sahaja untuk festival tersebut, tetapi juga bagi program yang mendatang.
Ketua Bahagian Publisiti dan Komunikasi Haryati Mohamad berkata, kerjasama tersebut bertumpu kepada kolaborasi yang boleh menyebarkan maklumat berkaitan program komuniti yang bermanfaat.
“Untuk kolaborasi kali ini, kita fokus kepada program maal hijrah yang bakal berlangsung tidak lama lagi di Masjid Jamek Sarawak.
“Bagaimanapun, kerjasama ini akan dikekalkan dan diteruskan untuk program akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan ke pejabat Suara Sarawak bersama-sama rombongan LAKMNS, di pejabat Suara Sarawak, di sini, hari ini.
Hadir sama Pegawai Unit Penerbitan Mohamad Hanif Abudullah dan Pegawai Unit Pentadbiran Shavina Azhari.
Manakala, Suara Sarawak diwakili Ketua Pegawai Operasi Tribune Press Sdn Bhd dan SV News Sdn Bhd Mohamad Sardon Zainal, Editor Eksekutif Suara Sarawak Rohana Wahed.



