KUCHING: Temasya Sukan Borneo, Kuching 2025 membawa makna yang cukup istimewa dengan penganjuran semula selepas 12 tahun.
Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Datuk Gerald Rentap Jabu menegaskan kali terakhir penganjuran temasya berkenaan ialah pada tahun 2013 di Wilayah Persekutuan Labuan.
Kini giliran Sarawak menjadi tuan rumah edisi baharu yang bermula dari 24 hingga 28 September.
“Sejak awal penubuhan sekretariat Sukan Borneo, Kuching 2025 yang diterajui oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC), pihak sekretariat sentiasa memastikan segala aspek persiapan berjalan lancar, daripada penyediaan gelanggang bertaraf antarabangsa, teknikal pertandingan, penginapan, pengangkutan, sukarelawan sehinggalah kepada keselamatan serta keselesaan atlet dan penonton.
“Kemudahan sukan di Kompleks Sukan Petra Jaya telah melalui proses penambahbaikan bagi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI Sarawak 2024, dan kini digunakan untuk Sukan Borneo, Kuching 2025 oleh ribuan atlet serta pegawai dari Sarawak, Sabah, Wilayah Persekutuan Labuan, Brunei Darussalam dan Provinsi Kalimantan Timur, Indonesia,” ujar Rentap.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Sukan Borneo, Kuching 2025 di Stadium Perpaduan, Petra Jaya petang tadi.
Beliau menjelaskan, jawatankuasa-jawatankuasa kerja juga ditubuhkan dengan kerjasama erat antara agensi kerajaan Sarawak dan Persekutuan serta persatuan-persatuan sukan bagi memastikan persiapan temasya kali ini berjalan dengan lancar.
“Sepanjang persediaan penganjuran dan operasi, semangat kerjasama antara kerajaan negeri, kerajaan Persekutuan, pihak swasta dan para sukarelawan amat membanggakan,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Rentap percaya penganjuran sukan berkenaan yang secara tidak langsung menghidupkan semula temasya berprestij ini selepas 12 tahun terhenti bukanlah sesuatu yang mudah.
“Pelbagai cabaran kita hadapi seperti penyediaan logistik, penyediaan jadual pertandingan serta penyertaan kontinjen yang menuntut komitmen tinggi semua pihak yang berkaitan.
“Hasil daripada cabaran-cabaran yang dihadapi ini, satu kejayaan membanggakan dapat dikongsi dengan berlangsungnya Temasya Sukan Borneo, Kuching 2025 yang bermula pada hari ini. Ini adalah usaha setiap jawatankuasa, sektor swasta dan komuniti setempat yang telah berganding bahu bagi memastikan kejayaan temasya ini,” jelas beliau.
Selain daripada acara sukan, penganjuran temasya kali ini memberi limpahan manfaat kepada rakyat.
“Dengan kehadiran lebih 1,000 atlet dan pegawai, ditambah dengan sukarelawan, media dan penonton, kita menjangka pertumbuhan serta peningkatan dalam sektor perhotelan, pengangkutan, makanan, pelancongan dan keusahawanan tempatan,” menurut beliau.
Justeru, melalui Sukan Borneo, Kuching 2025, peluang kepada usahawan kecil untuk mempromosikan produk dan warisan budaya turut disediakan.
“Ini seiring aspirasi Sarawak untuk menjadi hab sukan dan pelancongan serantau menjelang 2030.
“Selain mengukir kenangan indah kepada atlet, pegawai, jurulatih, pengunjung dan rakan media, di sini saya tekankan bahawa warisan yang ingin kita tinggalkan bukan sekadar rekod pingat, tetapi perpaduan, peluang pembangunan bakat dan semangat kesukarelawanan,” kata Rentap.
Beliau sebelum itu berharap temasya ini menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai atlet baharu yang akan mewakili Sarawak dan Borneo di pentas sukan yang lebih tinggi seperti Sukan SEA, Sukan Asia malah Olimpik.
“Saya mahu Sukan Borneo, Kuching 2025 ini dikenang sebagai simbol persaudaraan serantau,” jelas beliau.

