KUCHING: Sarawak berkemungkinan besar menganjurkan lebih daripada 16 acara sukan sempena Sukan SEA 2027 selepas menerima cadangan penambahan daripada beberapa negara peserta.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata setakat ini 16 acara sudah disahkan berlangsung di negeri ini, namun keputusan akhir dijangka menambah sekurang-kurangnya satu lagi acara.
“Daripada senarai rasmi, 16 acara sah berlangsung di Sarawak.
“Tetapi ada dua atau tiga acara baharu yang dipohon negara peserta, dan kemungkinan besar kita akan dapat satu lagi acara tambahan,” katanya ketika ditemui selepas melancarkan Sukan Borneo 2025 di Stadium Perpaduan, hari ini.
Antara acara yang telah disahkan berlangsung di Sarawak ialah memanah, akuatik, menembak, tenpin boling, taekwondo, tenis, skuasy, kriket dan muay thai.
Beliau berkata acara tinju akan ditempatkan di Pulau Pinang manakala polo pula berkemungkinan diadakan di Johor sekiranya diluluskan sebagai acara baharu.
Penganjuran bersama Sukan SEA 2027 disifatkan sebagai peluang besar untuk menampilkan keupayaan Sarawak sebagai tuan rumah acara bertaraf antarabangsa, sekali gus mengangkat imej negeri ini sebagai hab sukan serantau.

