ARTIKEL

Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah.

SUKMA 2026 Selangor Wajar Diteruskan, Ambil Kira Persiapan Semua Negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor wajar diteruskan dengan mengambil kira persiapan yang dilaksanakan oleh setiap negeri serta atlet.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pihaknya menjunjung titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan berpandangan sebarang keputusan berhubung perkara itu perlu dibuat secara menyeluruh dengan mengambil kira tahap kesiapsiagaan negeri-negeri yang bertanding.

Katanya, bukan hanya Sarawak yang membuat persiapan, semua negeri di Malaysia juga bersedia untuk SUKMA dan banyak kos telah dikeluarkan.

“Banyak yang dibelanjakan untuk persiapan, logistik, tempahan penginapan seperti hotel dan inap desa serta lain-lain.

“Deposit juga telah dibayar. Atlet kita dihantar ke pelbagai tempat, termasuk ke luar negara untuk latihan,” katanya pada sidang media di Bangunan Baitulmakmur Dua, di sini hari ini.

Beliau berkata, pandangan tersebut merupakan pendirian Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak serta Perbadanan Sukan Sarawak (SSC).

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan berkata, sekiranya temasya sukan dwitahunan itu ditangguhkan, terdapat atlet yang tidak dapat mengambil bahagian pada temasya seterusnya kerana SUKMA mempunyai had umur 21 tahun selain ketidaktentuan tempoh berakhirnya konflik di Timur Tengah.

Abdul Karim sebelum itu ditanya berkaitan lawatan dua hari Menteri Belia dan Sukan Dr. Mohammed Taufiq Johari ke Sarawak pada 28 hingga 29 April yang tidak berkaitan dengan cadangan penangguhan SUKMA.

Jelasnya, sepanjang lawatan dua hari itu, beberapa program diatur termasuk tinjauan ke kemudahan sukan utama seperti Stadium Sarawak, Stadium Tertutup dan Pusat Akuatik Pandelela Rinong serta program turun padang bersama rakyat di Kampung Semeba pada 29 April.

Mengulas spekulasi bahawa lawatan tersebut berkait rapat dengan mesyuarat khas SUKMA, Abdul Karim menjelaskan perkara itu tidak berbangkit, namun tidak menolak isu berkenaan mungkin dibincangkan secara tidak rasmi.

“Secara kebetulan beliau berada di sini, sudah tentu isu SUKMA akan disentuh, tetapi hanya di luar agenda rasmi,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Kementerian Belia dan Sukan dijangka mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif (Exco) SUKMA pada 30 April ini, sehari selepas Dr. Taufiq pulang dari Sarawak.

Katanya, mesyuarat tersebut penting bagi mendapatkan pandangan semua negeri yang terlibat sebelum keputusan muktamad dibuat.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU