KUCHING: Pembangunan Tanjung Embang sebagai hab pertumbuhan ekonomi baharu bakal memperkukuh kedudukan Sarawak dalam sektor teknologi tinggi, tenaga dan perdagangan menerusi penyediaan infrastruktur gas asli cecair (LNG), pelabuhan laut dalam serta lapangan terbang antarabangsa baharu.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kawasan itu berpotensi menarik pelaburan industri bernilai tinggi termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, pemprosesan makanan dan jentera pintar, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah selatan negeri ini.
Beliau berkata, pembangunan Terminal LNG Kuching menerusi perjanjian pembangunan bersama antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dengan Höegh Evi akan mewujudkan kemudahan penggasan semula LNG di Sarawak buat pertama kali, sekali gus memenuhi keperluan Kuching dan kawasan sekitarnya.
“Kemudahan ini bersama pembangunan sumber gas luar pesisir di perairan Sarawak Barat akan menjamin bekalan gas jangka panjang bagi penjanaan elektrik serta menyokong perkembangan aktiviti perindustrian pada masa hadapan.
“Dalam pada itu, cadangan pembinaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching baharu dengan kapasiti awal 15 juta penumpang setahun dijangka meningkatkan hubungan pengangkutan udara serantau dan antarabangsa, selain memperluas pergerakan penumpang serta kargo untuk mengukuhkan sektor pelancongan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak ke-19, hari ini.
Abang Johari berkata, sebuah pasukan petugas khas yang melibatkan agensi serta pihak berkuasa berkaitan ditubuhkan bagi menyelaras keseluruhan pembangunan Tanjung Embang, dengan kerja-kerja pembangunan fizikal dijangka bermula awal tahun depan.
Beliau berkata, pembangunan Samajaya 2 High Tech Park di Samarahan pula dikenal pasti sebagai kawasan pertama untuk memulakan peluasan Kuching Low-Carbon Hub, dengan PETROS menerajui pembangunan taman perindustrian berkenaan serta infrastruktur penting yang disasarkan bersedia menerima pelabur pada awal 2028.
Bagi memperkukuh bekalan tenaga, saluran paip gas Samalaju-Bintulu sepanjang 65 kilometer dijangka siap menjelang akhir 2026, manakala loji jana kuasa turbin gas kitaran gabungan (CCGT) di Miri dan Samalaju sedang dibangunkan bagi memenuhi peningkatan permintaan elektrik.
“Sembilan perjanjian pembelian tenaga solar turut dimeterai, membabitkan kapasiti keseluruhan 1,450 megawatt. Dalam aspek kelestarian, kerajaan negeri turut memperkukuh usaha penyahkarbonan menerusi Strategi Sifar Bersih dan Pelan Karbon Sarawak.
“Kajian penubuhan Pemecut Pembiayaan Iklim Sarawak serta pemuktamadan mekanisme penetapan harga karbon, di samping memperluas rangkaian grid elektrik di utara Sarawak sebagai sebahagian daripada usaha merealisasikan Grid Borneo dan Grid Kuasa ASEAN,” tambahnya.



