KUCHING: Seorang lelaki yang tidak memiliki lesen memandu sah ditahan selepas Perodua Alza dipandunya melanggar seorang pejalan kaki berusia 79 tahun hingga maut di Jalan Field Force, Batu Kawa, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Barry William, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 7.22 malam ketika lelaki berusia 36 tahun itu memandu kenderaan berkenaan secara bersendirian dari arah Batu Kawa menuju ke Petra Jaya.
Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian berhampiran simpang Lorong Field Force 3, kenderaan terbabit bergerak lurus di lorong kiri sebelum melanggar mangsa yang ketika itu berjalan kaki di tengah jalan di lorong sama.
“Mangsa tercampak ke atas jalan raya dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian kira-kira 8.32 malam oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Umum Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Barry berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Ibrahim Abdullah @ Muhi Majang, 79, dari Kampung Segedup, Jalan Batu Kawa.
Katanya, hasil semakan mendapati pemandu terbabit tidak mempunyai lesen memandu yang sah ketika kejadian.
“Semakan turut mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans Perodua Alza berkenaan telah tamat tempoh sejak 30 Oktober 2025,” katanya.
Beliau berkata, polis menahan pemandu berkenaan untuk siasatan lanjut manakala kenderaan terbabit turut ditahan bagi menjalani pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).
Menurutnya, polis turut menjalankan pemeriksaan di lokasi kejadian mengambil gambar dan mengesan saksi yang boleh membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.



