KUCHING: Buat pertama kali dalam sejarah penyertaan Malaysia di Persidangan Buruh Antarabangsa (International Labour Conference – ILC), tiada wakil pekerja hadir mewakili negara ke forum penting itu berikutan krisis dalaman yang melanda Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC).
ILC yang dianjurkan oleh Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) merupakan platform rundingan tiga pihak, iaitu kerajaan, majikan dan pekerja, yang menjadi tunjang sistem buruh antarabangsa. Ketidakhadiran wakil pekerja Malaysia dilihat sebagai satu tamparan besar terhadap prinsip tripartisme yang diamalkan negara selama ini.
Pengerusi MTUC Bahagian Sarawak, Zaidi Nasar berkata, ketiadaan perwakilan pekerja berpunca daripada kemelut kepimpinan dalam MTUC yang masih belum diselesaikan.
“MTUC bertanggungjawab menyelaras penyertaan wakil pekerja Malaysia ke ILC. Namun, krisis dalaman yang berpanjangan telah menghalang sebarang representasi rasmi tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, MTUC kini berada di bawah pentadbiran Jawatankuasa Bersama Khas (JBK) yang dilantik mahkamah dengan mandat mengadakan pemilihan semula kepimpinan dalam tempoh tiga bulan.
Bagaimanapun, ujarnya, pemilihan yang dijadualkan Mei lalu telah ditangguhkan ke Ogos 2025, menyebabkan MTUC terlepas peluang menyertai ILC kali ini.
MTUC Bahagian Sarawak menegaskan bahawa JBK perlu memberi tumpuan penuh terhadap pelaksanaan pemilihan semula dan menghentikan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli serta pihak berkepentingan.
“Kami menyeru semua pihak dalam MTUC agar menumpukan usaha untuk menyelesaikan kemelut ini. MTUC perlu kembali berperanan sebagai sebuah organisasi yang dihormati dan berwibawa dalam memperjuangkan hak pekerja,” ujar Zaidi.
Meskipun menghadapi cabaran dalam aspek perwakilan di peringkat antarabangsa, Malaysia kekal komited terhadap perlindungan hak pekerja melalui pelbagai inisiatif penting, antaranya pelaksanaan Ordinan Buruh Sabah (Pindaan) 2025 dan Ordinan Buruh Sarawak (Pindaan) 2025 yang memperluaskan perlindungan kepada semua pekerja tanpa mengira had gaji atau jenis pekerjaan.
“Kenaikan kadar gaji minimum sebanyak 13 peratus serta peluasan perlindungan keselamatan sosial kepada pekerja asing.
“Malaysia menggubal Konvensyen ILO 155 selepas 43 tahun untuk memastikan perlindungan lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan dan kesihatan pekerja.
Penyertaan aktif Malaysia dalam platform seperti APEC bagi memperkukuh kebajikan pekerja melalui perkongsian dasar dan amalan terbaik.
Selain itu, ujarnya, sekatan terhadap penubuhan kesatuan sekerja telah dilonggarkan, membolehkan lebih ramai pekerja bersuara dan memperjuangkan hak mereka.
MTUC Bahagian Sarawak menegaskan bahawa proses pemilihan semula perlu dilaksanakan secara adil, telus dan dalam tempoh yang ditetapkan.
“Kita tidak boleh berkompromi. Gerakan pekerja yang kukuh bukan sahaja melindungi hak pekerja tempatan, malah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai negara berdaya saing dalam sektor tenaga kerja global,” tambah Zaidi.

