KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak bakal menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-70 penubuhannya menerusi penganjuran program Kembara Madani Bahasa yang bertemakan Restu Jiwa Pahlawan, yang akan berlangsung di beberapa lokasi di negeri ini sepanjang Jun ini.
Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Dr. Azizul Ismail berkata, program tersebut merupakan antara pengisian utama sambutan ulang tahun berkenaan yang bertujuan memperkukuh penggunaan bahasa kebangsaan serta menyemai kecintaan terhadap bahasa dan sastera dalam kalangan masyarakat.
Menurut beliau, Kembara Madani Bahasa akan bermula di Daro, Mukah pada 15 Jun, diikuti di Gedong, Samarahan pada 17 hingga 18 Jun sebelum berakhir di Kuching pada 19 Jun.
“Pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang kembara tersebut termasuk forum, pertandingan bercerita, eksplorasi digital serta program yang melibatkan pelajar dan masyarakat setempat.
“Tema Restu Jiwa Pahlawan dipilih kerana semangat perjuangan tidak semestinya dizahirkan melalui senjata, sebaliknya boleh diterjemahkan menerusi ilmu, penulisan dan usaha memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Sementara itu, kemuncak Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-70 akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Hotel Pullman Kuching pada 22 Jun ini.
Dalam perkembangan lain, Azizul menegaskan bahawa DBP terus memainkan peranan penting dalam pembinaan, pengembangan serta penerbitan bahasa dan sastera di negara ini, termasuk di Sarawak sepanjang tujuh dekad penubuhannya.
“Antara usaha yang dilaksanakan termasuk pembangunan kamus bahasa sukuan dan etnik bagi mendokumentasikan serta memelihara warisan bahasa masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.
“Bahasa Melayu perlu terus diperkasakan sebagai bahasa perpaduan yang menghubungkan masyarakat pelbagai kaum dan etnik, namun pada masa yang sama, bahasa etnik juga perlu dipelihara kerana ia merupakan sebahagian daripada identiti dan jati diri masyarakat,” jelasnya.
Tambah beliau, DBP turut giat melaksanakan pelbagai program pengembangan bahasa yang melibatkan pelajar, guru serta komuniti menerusi forum, festival dan pertandingan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat.
Menurutnya, pendekatan yang digunakan kini turut mengambil kira perkembangan teknologi semasa dengan memanfaatkan platform digital dan media sosial bagi meluaskan capaian program kepada masyarakat.
Tambahnya, usaha melahirkan lebih ramai penulis dan sasterawan juga terus diperkukuh melalui penganjuran bengkel penulisan, program pembangunan bakat serta pengiktirafan menerusi Anugerah Buku Terbaik Premier Sarawak.
“Golongan muda perlu didekati melalui pendekatan yang dekat dengan minat mereka seperti kandungan digital, media sosial, eksplorasi kreatif dan aktiviti seni yang mampu menarik penyertaan mereka,” katanya.

