KUCHING: Dewan perniagaan Sarawak Australia dan Majlis Perniagaan Malaysia Australia (MABC) berhasrat untuk menjalinkan hubungan dan kerjasama strategik perdagangan.
Pada Majlis Makan Malam Gala Tahunan MABC baru-baru ini, Presiden MABC, Datuk Peter Tan berkata kedua-dua dewan itu sedang berusaha untuk bekerjasama bagi meningkatkan hubungan perdagangan antara Sarawak dengan Australia.
Beliau turut menzahirkan penghargaan atas kehadiran dan sokongan ahli Majlis Dewan Perniagaan Sarawak Australia (SABC) yang diketuai oleh Presiden, Rodger Chan Siong Boh.
Sementara, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang yang juga tetamu kehormat pada malam gala itu juga ingin melihat perpaduan dalam kalangan organisasi di Malaysia Timur dan juga Barat.
Ahli Parlimen Kanowit itu turut menggalakkan SABC dan MABC supaya terus bekerjasama demi kebaikan Malaysia khususnya Sarawak dan Australia.
Turut hadir, Pesuruhjaya Perdagangan Australia, Melanie Harris.


