KUCHING: Usaha mengangkat seni keringkam ke arus perdana mendapat suntikan semangat baharu dengan kehadiran Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi ke program latihan sulaman anjuran Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) di Wisma SABATI. Kehadiran beliau menunjukkan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap pemeliharaan warisan halus Sarawak.
Ketibaan Toh Puan Fauziah pada hari kedua program disambut Pemangku Presiden SABATI, Datuk Doreen Mayang Unggah bersama barisan kepimpinan termasuk Datuk Enn Ong Siok Ean, Datuk Baduyah Bujang dan Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.

Program dua hari bertajuk Keringkam: Meniti Benang Warisan Emas dianjurkan SABATI dengan kerjasama Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS).
Ia bertujuan memperkenalkan teknik asas sulaman keringkam serta motif tradisional yang menjadi identiti seni halus masyarakat Melayu Sarawak.
Selain meninjau sesi praktikal, Toh Puan Fauziah turut berkongsi koleksi sapu tangan sulam cabut milik Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Menurut beliau, koleksi itu dipamerkan sebagai rujukan dan sumber inspirasi peserta untuk menghayati kehalusan seni keringkam tradisional.
“Program seumpama ini diharapkan dapat terus dianjurkan bagi memartabatkan seni keringkam.
“Ia mampu memperkukuh identiti budaya Sarawak yang berbilang kaum dan kaya dengan warisan seni serta tradisi” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi.
Dalam pada itu, Toh Puan Fauziah turut berkenan menyempurnakan acara penyampaian cenderamata kepada para tenaga pengajar sebagai tanda penghargaan atas dedikasi mereka.

