ARTIKEL

Tragedi Mora

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

PARIDAH ISHAK

KELUARGA besarku sedang menanti kehadiranku selalu. 

Setiap hari aku berusaha mengunjungi mereka.

Insya-Allah. 

Berada bersama keluarga besarku menjadi kemestian padaku.  

Kegembiraanku mengatasi kemusykilanku melayani semua kemahuan demi kehidupan mereka. 

Hendak menemui mereka pun memang masalah juga. 

Aku tega mendayung perahu di sungai berarus deras untuk ke seberang sana. 

Motor kapcai dinaiki terpaksa ditinggalkan di seberang sini. 

Hasrat menziarahi keluargaku dan memperhati kemaslahatan mereka.

Mereka hanya mahukan sedikit keperluan yang mampu aku langsaikan, seperti garam dan makanan tambahan. 

Mereka pasti sedar kemampuanku terbatas. Aku terlalu kerdil. 

Sekiranya mereka meminta bulan, bintang di langit mustahil dapat aku turunkannya.

Tapi mutakhir ini cuaca temaram. Hujan turun menjujuh lebat. 

Bagaimanalah aku hendak mengunjungi keluarga besarku yang tinggal di seberang sungai itu?

Terbantut niatku.

Musykil sungguh.

Mulanya keluargaku itu tinggal berjiran denganku, di dalam dusun pusaka milikku. 

Tapi tragedi tragis berlaku saat Mora hendak melahirkan anaknya, sekonyong-konyong hujan turun menderu-deru tiada hentinya. 

Aku pula berkurung saja di dalam rumah.

Tidak dapat keluar melihat Mora dan anak-anaknya. 

Menyesal sungguh aku mengabaikan mereka lantaran terlalu memikirkan bahaya meredah banjir mungkin mengancam nyawaku. 

Akhirnya hujan renyai dan seriat. Aku bergegas ke rumah Mora.

Terkejut sungguh mendapati rumahnya telah tiada.

Mora dan anak-anaknya di mana pula? Hatiku bergelut rungsing.

Aku mendoakan semoga mereka semua selamat hendaknya.

Rupanya Mora dan anak-anaknya hanyut ditolak bah sehingga tersadai di seberang sungai berhampiran barisan sawit di kebunku.

Mujurlah Mora dan anak-anaknya selamat. 

Aku ingin membawa Mora dan anak-anaknya pulang bersamaku ke dusun.

Tapi amat sukar. Perahuku kecil saja.

Sungai itu tiada jambatan menghubungi seberang.

Gamaknya kalau mereka bertiga menaiki perahuku pasti perahuku karam dengan aku sekali tenggelam bersama.

Ingatanku mengimbau seni kata lagu asli ‘Sayang Sarawak’ yang merdu menyentuh kalbu. 

“Sayang Sarawak sungainya sempit, nakhoda kapal bersusah hati, hendak kubawa perahuku sempit, nak ditinggalkan tak sampai hati.”

Mora melangut menentang mataku.

Anak-anaknya mengelilingiku. Aku mengusap-usap kepala mereka.

Dari pandangan mata Mora walau tiada lontaran suara, aku memahami bahawa Mora dan anak-anaknya serasi tinggal di sini. 

Aku akan membina rumah baharu mereka di sini.

Rumah kecil beratapkan zink, bertiangkan kayu rimba untuk melindungi mereka daripada hujan dan panas 

Keluarga Mora bertambah besar setelah anak-anaknya Moira dan Mitra berkahwin dengan pasangan masing-masing.

Bertambah lagi ahli keluarga di seberang sungai itu dengan kelahiran cucu Mora anak pada Moira dan Mitra.

Berlaku banjir sekali lagi. Aku amat risaukan keselamatan keluargaku di seberang sungai itu.

Sebaik hujan teduh, aku mengayuh perahu ke sana. 

Tapi kesedihan menyapaku kala melihat Mora terapung di sungai.

Bah telah menewaskannya.

Mora terkorban.

Hatiku ngilu sayu.

Mungkin Mora berusaha merenangi arus bah untuk menyelamatkan nyawanya.

Tapi gagal. 

Tidak lama lagi pilihan raya akan diadakan di negeri tempat tinggalku.

Andai hujan mencurah lebat, bah akan melimpah seluruh dusunku. 

Adakah aku dapat mendayung perahu ke pusat membuang undi, memilih calon pilihanku demi menunaikan tanggungjawabku pada negara? 

Setelah itu bergegas pula mendayung perahu meredah bah ke seberang sungai untuk menyelamatkan anak cucu Mora pula?

Walau mereka hanya lembu-lembu peliharaanku dan tidak layak mengundi, kehilangan mereka tidak mahu kurasakan kesedihannya.

Jadi bagaimana agaknya perkiraanku menghadapinya dengan bijak kekalutan itu?

LAIN-LAIN BERITA

Angpau merah

EIZA NASHWASegamat, JohorDarul Takzim DAUN-DAUN kering menari-nari ditiup angin. Zhi Yang hanya memerhati dari jendela. Raut wajah wanita separuh usia itu kelihatan resah. Dia seperti

Nukilan HAZIQ AHMAD ZAKI

Haziq Ahmad Zaki Mohamad Zulkipli merupakan penulis, deklamator dan aktivis teater istimewa. Berasal dari Kuching, Sarawak. Mendapat pendidikan sijil dan diploma di Kolej Agama Madrasah

Menjual kolera

CLAYTON ROBERT bertugas sebagai Pembantu Penguat Kuasa Majlis Daerah Serian di Serian, Sarawak.Karya beliau tersiar dalam pelbagai akhbar dan majalah termasuk Mingguan Malaysia, Berita Minggu,

Sanggar Puisi

MERSARAWAK 31 Julai 2023 Sadong Jaya, Sarawak Di muara kasih Aku masih di sini memintal buih di kuku senja menghapus bayangku sendiri kerana di sana

Lampu putih

KARYA: MARYAM MAZLAN KOTA TINGGI, JOHOR DARUL TAKZIM “MAI, kaulah yang pandu kereta, aku pening sangat ini. Nak buka mata pun tak larat rasanya.” Telapak

Silau kemarau

ABANG MEDIAN ABANG SAID SMK MARUDI, BARAM Silau kemarau mengelupas panas tanah merekah lembah kering terpokah dedaun kekuningan bergulungan layu tupai berdecit berlompatan mencari buah

BERITA TERBARU

Sedar mahu belajar daripada GPS untuk majukan Sabah

KUCHING: Parti Sedar Rakyat (SEDAR) bersedia untuk mengadakan rundingan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Presidennya, Datuk Othman Abdillah berkata, usaha itu bagi memastikan Sedar

Mi kolo digazet nyadi Pemakai Pesaka Menua

KUCHING: Pemakai ti dikerindu mensia mayuh di Sarawak, mi kolo diatu udah digazet nyadi siti Pemakai Pesaka Menua tauka ‘Makanan Warisan Kebangsaan’. Pekara nya mega

Cubaan tiga lelaki curi kereta gagal

KOTA SAMARAHAN: Cubaan tiga lelaki melarikan sebuah kereta di Taman Uni Garden gagal apabila diberkas polis selepas terbabas di Jalan Stutong, pada malam Selasa. Pemangku