DARO: Tragedi renjatan elektrik yang mengorbankan seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di Daro perlu dijadikan iktibar kepada semua pihak agar langkah pencegahan lebih berkesan dilaksanakan bagi mengelakkan kejadian sama berulang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Dr Safiee Ahmad menzahirkan rasa sedih dan dukacita atas kejadian yang berlaku serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
Katanya, tiada pihak menginginkan insiden sedemikian berlaku, namun susulan kejadian itu, semua pihak perlu bermuhasabah dan mengambil pengajaran.
“Kita berasa sedih dan berdukacita atas apa yang berlaku dan hanya mampu mengucapkan takziah kepada keluarga yang terlibat. Saya percaya tiada sesiapa mahu perkara ini berlaku.
“Namun memandangkan ia telah berlaku, kita perlu bermuhasabah diri dan mengambil iktibar untuk melihat bagaimana kita boleh membantu memastikan perkara sama tidak berulang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sehubungan itu, katanya, satu siasatan menyeluruh akan dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (KPM) bersama beberapa agensi berkaitan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Beliau berharap hasil siasatan itu dapat memberikan gambaran lebih jelas mengenai punca kemalangan berkenaan boleh berlaku.
“Saya percaya selepas kejadian ini, satu siasatan mendalam akan dilaksanakan oleh KPM dan beberapa agensi berkaitan.
“Harapan kita, siasatan tersebut dapat memberi penjelasan yang jelas mengenai punca kejadian,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berpandangan langkah jangka pendek yang perlu diberi perhatian segera adalah pemeriksaan terhadap sistem pendawaian elektrik di sekolah berkenaan.
“Kita mengambil kira usia sekolah yang telah lama beroperasi, sistem pendawaian sedia ada mungkin memerlukan pembaharuan secara menyeluruh.
“Perkara tersebut perlu dilihat bukan sahaja daripada aspek keadaan pendawaian sedia ada, tetapi juga kemungkinan terdapat pendawaian tambahan yang dibuat tanpa pematuhan spesifikasi atau tidak dilaksanakan oleh pihak bertauliah.
“Tragedi ini boleh menjadi titik tolak untuk melakukan penilaian lebih menyeluruh terhadap aspek keselamatan elektrik di semua sekolah, khususnya bangunan lama.
“Kita bukan sahaja tidak mahu perkara ini berlaku lagi di sekolah berkenaan, tetapi juga di sekolah-sekolah lain,” jelasnya.
Di samping itu, katanya, sekolah yang berasaskan struktur kayu dan telah lama digunakan mungkin mempunyai risiko lebih tinggi terhadap isu pendawaian usang.
Dr Safiee turut mencadangkan supaya aspek kemudahan asas seperti sistem paip di kawasan sekolah turut diberi perhatian.
“Ini kerana, penggunaan bahan besi pada sistem paip boleh meningkatkan risiko sekiranya berlaku kebocoran arus elektrik.
“Sekiranya dapat, kemudahan seperti paip di kawasan sekolah perlu dipertimbangkan untuk menggunakan bahan yang lebih selamat seperti plastik bagi mengurangkan risiko konduksi elektrik,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, beliau menekankan kepentingan pendidikan keselamatan dan pendedahan awal kepada pelajar, khususnya pelajar asrama, mengenai tindakan yang perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan melibatkan renjatan elektrik.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diterima, mangsa dipercayai sedang membantu rakannya yang terkena renjatan pada peringkat awal sebelum turut menjadi mangsa.
“Pelajar perlu diberikan pendedahan tentang cara membantu mangsa renjatan elektrik dengan selamat, termasuk mengelakkan sentuhan secara langsung ketika badan dalam keadaan basah serta menggunakan bahan tertentu untuk menghalang aliran elektrik.
“Latihan pertolongan cemas dan prosedur kecemasan juga perlu diperkukuh dalam kalangan pelajar serta warga sekolah,” tegasnya.
Pada masa sama, Safiee berharap pihak sekolah dapat menyediakan sokongan kaunseling kepada keluarga mangsa serta individu yang terkesan dengan tragedi tersebut.
“Kehilangan seorang anak yang sedang membesar bukan sesuatu yang mudah diterima. Saya berharap keluarga arwah terus tabah dan diberikan kekuatan menghadapi ujian ini,” tambahnya.
TAMAT

