WASHINGTON: Presiden AS Donald Trump memuat naik rakaman yang mengemparkan di akaun Truth Social beliau pada Selasa, memaparkan seorang lelaki di Britain yang maut dibaham harimau, sekali gus mencetuskan kecaman di media sosial.
Klip berdurasi 41 saat yang menunjukkan serangan terhadap lelaki warga UK di sebuah taman hidupan liar pada Sabtu itu turut dikongsikan kemudian oleh akaun “Rapid Response 47” milik Rumah Putih di platform X.
Trump, yang kerap memuat naik kandungan provokatif di media sosial, menyusuli hantaran awalnya itu—yang disertakan kapsyen “Jangan sesekali mengganggu alam semula jadi!”—dengan satu lagi klip video. Video tersebut memaparkan visual yang dipercayai dijana oleh kecerdasan buatan (AI) yang menunjukkan individu dibaham oleh haiwan pemangsa besar, diiringi muzik synthesizer yang kedengaran agak kasar.
Pengguna di platform X—yang akaun “Rapid Response 47” mempunyai 2.3 juta pengikut mempersoalkan kewajaran tindakan presiden itu, dengan seorang pengguna menyifatkan hantaran tersebut sebagai sesuatu yang “sakit” (tidak wajar atau kejam).
“Saya penyokong kuat beliau tetapi tidak gemarkan hantaran ini. Tepuk dada tanya selera,” tulis seorang lagi pengguna.
Kemudian pada hari yang sama, Trump meneruskan tindakan tersebut dengan memuat naik video janaan AI yang memaparkan dirinya sedang bergelut dan kemudian berkawan dengan harimau yang sedang tersenyum, diiringi lagu “The Lion Sleeps Tonight.” – AFP



