KUCHING: Kejayaan qariah Sarawak, Nursyakura Mohd Musa dinobatkan sebagai johan Tilawah Al-Quran dan Hafazan Peringkat Kebangsaan dilihat sebagai pemangkin kepada usaha berterusan dalam memperkasa pendidikan serta penghayatan Al-Quran di negeri ini.
Justeru, Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menzahirkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada johan qariah serta seluruh kontinjen Sarawak atas pencapaian cemerlang tersebut.
“Semoga qariah Nursyakura Mohd Musa terus meraih kejayaan di peringkat antarabangsa yang dijadualkan berlangsung pada awal bulan Oktober nanti,” katanya.
Tun Pehin berkata demikian selepas beliau dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi menerima kunjungan hormat delegasi kontinjen Sarawak yang menjadi johan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447H/2026M di Astana Negeri Sarawak, Petra Jaya, hari ini.
Delegasi tersebut diketuai Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak merangkap Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Hal Ehwal Islam, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi bersama isteri, Datin Siti Shorgayah Ahmad Zaidin.
Hadir sama, Ketua Penyelia GAQ-MIS, Datuk Ismawi Duet, Timbalan Pengarah II Jabatan Agama Islam Sarawak, Wan Shaifuddin Wan Madihi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pengembangan Al-Quran Darul Hana (DHQc-MIS), Mohd Shalahudin Marzuki.
Kunjungan hormat tersebut juga bertujuan mempersembahkan trofi kemenangan oleh qariah Nursyakura Mohd Musa sebagai simbol kejayaan Sarawak di pentas Tilawah Al-Quran peringkat kebangsaan tahun ini.
Selain itu, Nursyakura turut dinobatkan sebagai pemenang Markah Tertinggi Keseluruhan Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan 1447H/2026M.
Kunjungan ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dan agensi berkaitan dalam memartabatkan Al-Quran sebagai panduan hidup serta memperkukuh pembangunan sahsiah ummah di Sarawak.

