KUCHING: Kedudukan dan kepentingan Sabah serta Sarawak dalam Persekutuan Malaysia menjadi antara perkara yang dibincangkan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan Ketua Merinyu Projek Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Salleh Said Keruak, hari ini.

Foto | ASTANA NEGERI SARAWAK
Pertemuan itu turut menyentuh Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk usaha memperkukuh kedudukan kedua-dua negeri selaras dengan semangat pembentukan Malaysia.
Pertemuan berlangsung ketika Datuk Seri Panglima Dr Salleh mengadakan kunjungan hormat ke kediaman rasmi Tun Wan Junaidi, di sini.
Salleh yang juga bekas Ketua Menteri Sabah menzahirkan penghargaan kepada Tun Wan Junaidi atas sumbangannya ketika menerajui portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), khususnya dalam usaha memperkukuh kedudukan MA63 menerusi pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 2021.
Beliau menyifatkan pindaan itu sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh kedudukan dan kepentingan Sabah serta Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Sementara itu, Tun Wan Junaidi menzahirkan penghargaan atas kunjungan berkenaan serta perkongsian pandangan dan pengalaman yang berlangsung.
Pertemuan itu mencerminkan komitmen berterusan untuk memperkukuh kefahaman berkaitan sejarah, kedudukan dan aspirasi Sabah serta Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.
Hadir sama, isteri Tun Wan Junaidi, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi.

