ARTIKEL

Francis Harden ketika berucap pada Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 di sini, hari ini.

TVET Jadi Teras Transformasi Ekonomi Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Dalam menghadapi revolusi teknologi serta perubahan ekonomi pasca COVID-19, Sarawak menekankan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai platform utama bagi melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran tinggi dan celik teknologi.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, TVET merupakan enjin utama dalam mempersiapkan tenaga kerja negeri ini untuk menghadapi cabaran ekonomi global serta perkembangan teknologi canggih.

“Sarawak kini berada di ambang transformasi ekonomi yang dipacu kecerdasan buatan (AI), teknologi moden dan tuntutan kelestarian global.

“Transformasi struktur ekonomi ini meningkatkan permintaan terhadap tenaga kerja tempatan yang bukan sahaja mahir dalam aspek teknikal, malah berpengetahuan mengenai teknologi baharu serta mampu menyesuaikan diri dengan keperluan industri masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis pada Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak 2025 di sini, hari ini.

Menurut beliau, keupayaan Sarawak membangunkan modal insan berkualiti tinggi menjadi penentu utama kejayaan negeri ini dalam merealisasikan aspirasi pembangunannya.

“Oleh itu, TVET berperanan sebagai pemangkin pembangunan bakat menerusi pelaburan untuk menaik taraf kemudahan latihan serta meningkatkan kualiti pengajaran.

“Selain itu, TVET turut berfungsi memperkukuh kerjasama dengan rakan industri bagi memastikan latihan yang ditawarkan kekal relevan dengan keperluan pasaran,” ujarnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata WorldSkills Malaysia Sarawak (WSM–Sarawak) berperanan sebagai platform strategik dalam mengenal pasti serta membangunkan potensi belia.

“Platform ini membolehkan peserta memperoleh pendedahan kepada piawaian kemahiran bertaraf dunia, teknologi moden, latihan berstruktur serta bimbingan pakar.

“WSM–Sarawak bukan sekadar melahirkan tenaga kerja mahir, malah membentuk generasi pemain industri yang berupaya memacu kemajuan masa depan Sarawak,” jelasnya.

Abang Johari turut memuji pencapaian anak-anak Sarawak yang meraih pelbagai anugerah di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menerusi penyertaan dalam WorldSkills.

“Tahniah diucapkan kepada anda semua, duta kecil yang telah mengharumkan nama Sarawak dan Malaysia, sekali gus membuktikan bahawa pendidikan TVET merupakan pilihan yang tepat serta berkualiti,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kerjasama antara sektor awam dan swasta amat penting dalam membangunkan landskap bakat negeri.

“Program seperti Akademi Dalam Industri (ADI) akan memastikan Sarawak memiliki tenaga kerja masa depan yang berkemahiran, anjal serta bersedia menyokong industri moden.

“Marilah kita terus bekerjasama, saling menyokong dan melabur dalam potensi generasi muda agar dapat bersama-sama membina masa depan Sarawak yang berkembang maju dari segi ekonomi, sosial dan kelestarian,” tegasnya.

Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi serta panel penilai yang memastikan penganjuran WSM–Sarawak berlangsung dengan jayanya.

“Marilah kita melangkah ke hadapan dengan semangat Segulai Sejalai, Sejiwa dan Sehala bagi merealisasikan aspirasi Sarawak sebagai wilayah yang makmur, progresif dan berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat serta Setiausaha Tetap Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Adana Jed.

Francis Harden merasmikan Majlis Anugerah Tangan Emas Premier Sarawak diiringi kenamaan lain yang hadir.
KENANGAN…Francis Harden (tengah) bersama kenamaan lain merakam gambar kenangan bersama pemenang dan peserta pada majlis tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU