KUCHING: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, menerima kunjungan hormat daripada delegasi Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (SME Corp. Malaysia) di Astana Negeri di sini, hari ini.
Delegasi tersebut diketuai oleh Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Giluk Dompok.
Dalam pertemuan itu, Tun Wan Junaidi diberikan penerangan tentang kejayaan program pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), termasuk inisiatif strategik yang menyokong aspirasi Sarawak untuk mencapai status negeri maju menjelang 2030.
Sehubungan itu, Bernard memaklumkan, antara tujuan kunjungan hormat tersebut adalah untuk memaklumkan tentang pencapaian kerjasama dan pelaksanaan program pembangunan PMKS pada peringkat negeri dan persekutuan.
“Kunjungan ini bertujuan untuk mengiktiraf kejayaan kolaborasi bersama kementerian, agensi, jabatan dan persatuan yang terlibat dalam membangunkan sektor PMKS, selain menzahirkan harapan untuk memperkukuh kerjasama bagi pelaksanaan program domestik dan antarabangsa pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan kunjungan hormat tersebut di Balai Mengadap, Astana Negeri, hari ini.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy, Ketua Pegawai Operasi SME Corp. Malaysia, Mohd Izham Abdullah, Pengarah SME Corp. Malaysia Cawangan Pejabat Sarawak, Julyskristin Poly, serta pegawai lain.

