KOTA SAMARAHAN: Pengoperasian Pusat Kesihatan Prima (PKP) dan Hospital Pengajar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menjadi pencapaian penting dalam memperkasakan pembangunan penjagaan kesihatan di negeri ini.
Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, inisiatif ini menambah fasiliti kesihatan yang memberi manfaat dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
Meskipun majlis perasmian hari ini melibatkan projek fasa pertama, beliau yakin fasa kedua akan menyusul untuk melengkapkan perkhidmatan fasiliti tersebut.
“Usaha pewujudan hospital ini penting untuk memenuhi keperluan rakyat Sarawak dalam penjagaan kesihatan. Ia termasuk menyediakan hospital lengkap dengan teknologi terkini,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian PKP, Hospital Pengajar, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, hari ini.
Tambahnya, beliau memuji usaha UNIMAS atas kejayaan menubuhkan fasiliti itu, yang membantu menyediakan penjagaan kesihatan berkualiti di Sarawak.
“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan di bawah Kerajaan Perpaduan kerana turut membangunkan hospital ini.
“Kita melihat fasa pertama hospital ini sebagai usaha penting membantu klinik swasta dan awam di Sarawak,” ujarnya.


Fasa pertama, iaitu PKP, mula menawarkan perkhidmatan kepada orang awam pada 4 November tahun lalu, manakala fasa kedua akan melibatkan pembinaan dan penyiapan bangunan utama Hospital Pengajar UNIMAS.
PKP juga berfungsi sebagai fasiliti untuk pengajaran, pembelajaran, serta latihan praktikal pelajar perubatan UNIMAS, sejajar dengan usaha melahirkan graduan perubatan berkualiti.
Selain itu, ia menjadi platform unggul untuk mengintegrasikan pendidikan, penyelidikan, dan perkhidmatan kesihatan.
Dalam perkembangan lain, Abang Johari memaklumkan, jika pendapatan Sarawak terus meningkat, kerajaan merancang memperkenalkan biasiswa khusus untuk kajian perubatan kepada anak Sarawak.
“Sekiranya pendapatan Sarawak meningkat, kita akan berkongsi dengan rakyat, termasuk melalui biasiswa untuk anak-anak kita yang ingin membuat kajian dalam bidang perubatan,” tegasnya.

