ARTIKEL

CENDERAMATA... Ketua Pegawai Eksekutif Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Datuk Jeniri Amir dan Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS, Dr Dilah Tuah bertukar cenderamata bersama-sama rombongannya semasa mengadakan kunjungan hormat di Pejabat Suara Sarawak dan Sarawak Tribune, Metrocity, Matang, Kuching hari ini. Foto: Ghazali Bujang

UNIMAS, Suara Sarawak sasar perbaharui MoU perkukuh kerjasama industri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Peluang latihan industri, geran industri serta kerjasama penerbitan dan kesarjanaan antara manfaat yang disasarkan menerusi pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bersama Suara Sarawak dan Sarawak Tribune.

Dekan Fakulti Pendidikan, Bahasa dan Komunikasi (FPBK) UNIMAS, Dr Dilah Tuah berkata, kerjasama universiti dan industri penting bagi memastikan keperluan pasaran kerja dapat diselaraskan dengan pembelajaran di universiti.

“MoU ini penting kerana kita mahu hubungan dan kerjasama antara UNIMAS dengan industri terus diperkukuh.

“Antara tujuannya ialah memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan industri selain meneroka kerjasama dalam penerbitan dan kesarjanaan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan hormat di sini, hari ini.

Dr Dilah berkata, MoU terdahulu telah tamat dan kini pihaknya melihat keperluan untuk memperbaharui kerjasama berkenaan.

Menurut beliau, kerjasama itu bukan hanya memberi manfaat kepada FPBK, sebaliknya boleh dimanfaatkan oleh 11 fakulti di UNIMAS.

“Fakulti adalah penggerak dan pihak yang menjadi penyelaras, tetapi MoU ini mewakili UNIMAS.

“Apabila perjanjian ini ditandatangani, ia boleh digunakan oleh 11 fakulti dan bukan hanya tertumpu kepada FPBK,” katanya.

Dr Dilah berkata, pihaknya turut melihat peluang mendapatkan geran industri daripada Suara Sarawak dan Sarawak Tribune bagi menyokong kegiatan akademik dan penyelidikan.

Katanya, UNIMAS juga bercadang melantik Datuk Dr Jeniri Amir sebagai Profesor Adjung bagi membantu universiti merangka kurikulum yang menepati keperluan industri.

Dalam pada itu, Dr Dilah berkata, cadangan turut dikemukakan untuk mewujudkan Anugerah Suara Sarawak bagi graduan komunikasi sebagai satu lagi bentuk kerjasama antara industri dan universiti.

Menurut beliau, kriteria serta bentuk penganugerahan berkenaan akan diputuskan kemudian.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU