MUKAH: Usaha meningkatkan harga sagu di Balingian menjadi antara keutamaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Balingian, Dr Abdul Yakub Arbi, sekiranya diberi mandat untuk penggal ketiga pada Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak Ke-13.
Beliau berkata, jurang harga sagu antara Balingian dengan Mukah perlu ditangani bagi memastikan industri berkenaan terus berkembang serta memberikan pulangan lebih baik kepada pengusaha dan penduduk tempatan.
“Sebagai anggota Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah (SNDB), saya telah mengadakan perbincangan dengan lembaga berkenaan bagi mencari pendekatan untuk meningkatkan harga sagu di Balingian.
“Sebagai contoh, harga sagu di Balingian jauh lebih rendah berbanding Mukah.
“Oleh itu, saya telah merancang beberapa langkah untuk menangani perkara ini. Insya-Allah, sekiranya dipilih semula, kita akan meneruskan perancangan tersebut,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Selain sektor pertanian, Yakub berkata, pendidikan dan kebajikan masyarakat turut menjadi keutamaannya.
Katanya, perhatian itu merangkumi bantuan kepada pesakit, keluarga yang kehilangan insan tersayang serta pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).
Dalam perkembangan lain, Yakub, 66, yakin dengan strategi yang dirancang bagi menghadapi PRU Sarawak Ke-13.
Beliau yang berhasrat mempertahankan kerusi Balingian untuk penggal ketiga berturut-turut bakal berdepan calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS), Timah Unchat.
Menurutnya, pertandingan kali ini merupakan kali pertama beliau berdepan calon PBDS sejak dipilih sebagai ADUN Balingian pada 2016.
Mengulas persaingan itu, Yakub berkata, beliau pada awalnya menjangkakan akan berdepan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), meskipun rakan-rakannya memberi bayangan bahawa mungkin ada pencabar yang akan tampil.
“Apabila mendapat pengesahan bahawa ada pencabar dalam pilihan raya ini, saya akui berasa sedikit gementar dan tercabar.
“Saya tidak terlalu yakin, tetapi percaya dengan strategi yang telah kami persiapkan untuk PRU Sarawak kali ini,” katanya.
Yakub pertama kali memenangi kerusi DUN Balingian pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak 2016 atas tiket Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 2,964 undi.
Beliau kemudian mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN Sarawak 2021 atas tiket GPS.



